Selisih faham cetus pertengkaran, majikan maut dipukul tukang masak
Adie Sufian Zulkefli
Februari 5, 2023 13:38 MYT
Februari 5, 2023 13:38 MYT
ALOR SETAR: Tidak berpuas hati selepas dimarah majikan, seorang tukang masak sebuah restoran menumbuk serta memukul muka majikannya hingga mangsa meninggal dunia dalam kejadian di Jalan Stadium, di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir, berkata dalam kejadian jam 5.15 petang itu, mangsa yang juga lelaki warga emas berusia 68 tahun itu rebah selepas ditumbuk dan dipukul menggunakan kayu oleh suspek yang berusia 55 tahun.
“Kejadian berlaku ketika suspek bersama isteri serta anak perempuannya sedang bekerja di restoran terbabit, sebelum berlaku perselisihan faham dan mencetus pertengkaran mulut di belakang restoran.
“Siasatan awal mendapati perselisihan faham itu bermula antara anak mangsa dan isteri suspek yang berang kerana anak pemilik restoran berkenaan menuang air bilasan pinggan ke dalam bekas peralatan yang sudah dicuci.
"Mangsa kemudian keluar dari restoran dan terus memarahi isteri suspek sebelum berlaku pertengkaran antara suspek dan mangsa," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Ahmad Shukri berkata, mangsa dikatakan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap suspek membuatkan pekerjanya itu hilang sabar dan meyerangnya menggunakan sebatang kayu.
Bagaimanapun, tindakan itu cuba dihalang oleh anak masing-masing namun suspek dikatakan sempat melepaskan tumbukan beberapa kali di muka mangsa sebelum pergaduhan itu dileraikan.
Mangsa ketika itu dilihat masih sedar sebelum dia rebah secara tiba-tiba membuatkan anaknya terus menghubungi ambulans.
Menurutnya, pegawai perubatan yang tiba tidak lama kemudian membuat pemeriksaan dan mendapati mangsa sudah meninggal dunia.
"Hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa mempunyai sejarah serta rekod penyakit jantung, darah tinggi dan sakit tulang belakang.
"Setakat ini, polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kematian mangsa dan punca hanya akan diketahui selepas bedah siasat dilakukan dalam tempoh terdekat," katanya.
Ahmad Shukri berkata, polis telah menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseskaan.