Seleweng zakat MAIPk RM9.62 juta: Suami isteri bebas dengan jaminan bon mahkamah

Abd Razak Mohd Ali
Januari 15, 2024 11:05 MYT
Suami isteri yang ditahan bagi membantu siasatan kes penyelewengan kutipan zakat MAIPk tiba di Mahkamah Majistret Ipoh pada jam 9.30 pagi dan dibebaskan kira-kira 20 minit kemudian selepas membayar jaminan. - Foto Astro AWANI
IPOH: Suami isteri yang ditahan bagi membantu siasatan kes penyelewengan kutipan zakat Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak (MAIPk) sebanyak RM9.62 juta, dibebaskan dengan jaminan bon mahkamah RM50,000 setiap seorang.
Permohonan jaminan itu dikemukakan pihak polis di Mahkamah Majistret di sini hari ini mengikut Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah.
Majistret Farah Nabihah Muhamad membenarkan permohonan itu terhadap pasangan itu, masing-masing lelaki berumur 50 tahun dan wanita berumur 53 tahun.
Pasangan yang bertindak sebagai ejen kutipan zakat itu tiba di mahkamah dengan berpakaian biasa diiringi polis pada jam 9.30 pagi.
Kedua-dua mereka dibebaskan kira-kira 20 minit kemudian selepas membayar jaminan.
Pada 5 Jan lalu, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri mengesahkan pasangan itu ditahan di Kuala Lumpur kira-kira jam 12.35 tengah hari Jumaat.
Pada mulanya, kedua-dua mereka direman tujuh hari mulai 6 hingga 12 Jan sebelum disambung reman tiga hari lagi, berakhir hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman sedang menyiasat sebuah syarikat dilantik sebagai ejen kutipan zakat MAIPk selepas disyaki menyeleweng kutipan zakat sebanyak RM9.62 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, siasatan dijalankan selepas syarikat terbabit dipercayai gagal mendepositkan zakat bermula Mac hingga September 2023.
Menurut beliau, kes tersebut adalah antara empat kes jenayah pecah amanah berkait kutipan zakat dalam tempoh tahun lalu di mana dua kes direkodkan di Selangor, masing-masing satu kes di Terengganu dan Perak.
#ejen kutipan zakat #seleweng zakat #MAIPk #mahkamah majistret ipoh
;