Seleweng RM2.3b dana 1MDB: Tuduhan terhadap Najib sah, tidak cacat - Hakim

Firdaus Azil
Oktober 30, 2024 10:25 MYT
Najib Razak dikawal ketat ketika tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pada Rabu. - Gambar Astro AWANI/ SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi pada Rabu menolak hujah pembelaan bahawa tuduhan terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung penyelewengan dana RM2.3 bilion dana 1MDB adalah tidak sah.
Sewaktu membaca alasan penghakiman di akhir kes pendakwaan, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) berkata, kesemua 25 pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Dari Aktiviti Haram (AMLA) 2001, memenuhi kriteria di bawah Kanun Tatacara Jenayah (CPC).
Selain itu beliau berkata, mahkamah juga mendapati saksi pendakwaan mempunyai kredibiliti dan tiada siasatan yang berat sebelah.
Mengikut kertas pertuduhan, Najib, 71, yang juga bekas Pengerusi Barisan Nasional, didakwa melakukan kesalahan itu ketika menjawat jawatan selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
Selain kes 1MDB dan SRC, Najib juga berdepan pertuduhan pengubahan wang haram tambahan melibatkan RM27 juta daripada SRC International dan kes berkenaan telah ditetapkan untuk perbicaraan pada 19 Mei tahun depan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi K Muniandy.
Najib juga dituduh bersama bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah dalam enam pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) yang melibatkan RM6.6 bilion dalam dana kerajaan berkaitan pembayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).
Kes ditetapkan untuk perbicaraan pada 14 Nov ini di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin.
#1MDB #Najib Razak #dana 1MDB #Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur
;