Seleweng RM15 juta: Pengerusi, Pengarah Urusan bank mengaku tidak bersalah

Astro Awani
September 7, 2016 11:25 MYT
Tan Sri Abdul Aziz mengaku tidak bersalah bersubahat berhubung kes berkenaan selepas pertuduhan dibacakan. -Gambar fail
Pengerusi Bank Rakyat Tan Sri Abdul Aziz Zainal dan Pengarah Urusan Bank Rakyat Datuk Mustafha Abd Razak didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini berhubung kes penyelewangan dana penerbitan buku bernilai hampir 15 juta ringgit.
Tan Sri Abdul Aziz mengaku tidak bersalah bersubahat berhubung kes berkenaan selepas pertuduhan dibacakan.
Datuk Mustafha juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berhubung penyelewengan dana penerbitan itu.
Sebelum ini, Pengarah Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Azam Baki berkata kedua-dua mereka akan didakwa atas beberapa pertuduhan mengikut Kanun Keseksaan.
Pada 30 Ogos lepas, Mahkamah Majistret Putrajaya membenarkan permohonan SPRM untuk menahan reman lelaki berusia 65 tahun bergelar Tan Sri itu selama tujuh hari sehingga 5 Sept bagi membantu kes penyelewengan dana penerbitan buku berkaitan seorang tokoh pemimpin negara.
Lelaki bergelar Datuk berusia 48 tahun itu pula ditahan reman tiga hari bermula 26 Ogos oleh mahkamah sama bagi membantu siasatan kes sama.
#Bank Rakyat #dana penerbitan buku #Datuk Mustafha Abd Razak #RM15 juta #Tan Sri Abdul Aziz
;