Seleweng minyak masak bersubsidi, KPNDHEP terus gempur pihak tidak bertanggungjawab - Nanta

Fareez Azman
Jun 22, 2022 17:37 MYT
Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pemantuan serta penguatkuasaan oleh pihaknya akan terus dijalankan di seluruh negara. - Gambar fail/BERNAMA
PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan terus menggempur pihak yang tidak bertanggungjawab menyeleweng minyak masak bersubsidi.
Menurut menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, pemantuan serta penguatkuasaan oleh pihaknya akan terus dijalankan di seluruh negara.
"Kami di KPDNHEP, yang penting mengenai penguatkuasaan supaya apa diputuskan (kerajaan), kita pastikan berjalan dengan lancar.
"Lebih 2,000 anggota penguatkuasa seluruh negara kita di 72 Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) yang dapat digerakkan pantas apabila ada aduan dan sebagainya," katanya ketika ditemui media di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya pada Rabu.
BACA: Subsidi minyak masak botol dimansuhkan, susulan penyelewengan - PM
Jelas Nanta, seramai 1,000 pegawai pemantau harga turut akan membantu penguatkuasa di seluruh negara.
"Kita ada hampir 1,000 pegawai pemantau harga yang juga membantu memantau keadaan, sebab kita nak bendung pastikan tiada ketirisan dalam penggunaan minyak masak.
"Penguatkuasaan amat penting, kita lihat kepada semua minyak masak botol dan peket. Memang kita pantau dari segi harga dan ketirisan," katanya lagi.
Mengulas mengenai penarikan subsidi minyak masak berbotol seperti diumumkan kerajaan, tambah Nanta, KPDNHEP turut berharap kerjasama dapat diberikan oleh rakyat terutama dalam mendapatkan minyak masak bersubsidi.
BACA: Kerajaan hapus subsidi minyak masak tulen berbotol mulai 1 Julai
"KPDNHEP merayu kepada pengguna agar faham dengan keadaan dan membantu kita mengendalikan program ini, sebab minyak bersubsidi kita hanya benarkan pembelian satu hingga dua peket sahaja.
"Jadi janganlah pergi ke kedai beli satu kotak, itu tidak patut dan salah... peraturan kami dah tetapkan," katanya lagi.
#KPDNHEP #seleweng minyak masak #minyak masak bersubsidi #minyak peket #Alexander Nanta Linggi
;