Seleweng hampir RM1 juta, dua bekas staf IPTS ditahan SPRM
Sinar Harian
Februari 14, 2024 14:30 MYT
Februari 14, 2024 14:30 MYT
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlis menahan dua orang bekas kakitangan sebuah institut pengajian tinggi swasta (IPTS) di utara tanah air kerana disyaki menyeleweng wang hampir RM1 juta.
Menurut sumber, perbuatan menyeleweng wang daripada institusi tersebut dipercayai dilakukan untuk tujuan peribadi.
Sumber berkata, kedua-dua suspek lelaki berusia dalam lingkungan 30-an dipercayai ditahan secara berasingan kira-kira jam 5.30 petang Selasa di dua lokasi berasingan iaitu di pejabat SPRM Kuala Lumpur dan SPRM Perlis ketika diminta hadir memberi keterangan.
"Kedua-dua suspek dipercayai melakukan kesalahan tersebut dari tahun 2022 hingga 2023 dengan suspek pertama yang menggunakan jawatan sebagai 'Pegawai Khas' kepada ketua pegawai kewangan IPTS tersebut untuk memindahkan wang daripada akaun IPTS ke akaun peribadi miliknya dan seorang lagi suspek.
"Jumlah perpindahan wang dilakukan adalah kira-kira 60 transaksi bank melibatkan hampir RM1 juta dan kesemua wang tersebut telah digunakan untuk tujuan peribadi," katanya pada Rabu.
Sementara itu, Pengarah SPRM Perlis, Suzeliyana Hashim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan menyatakan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Katanya, susulan penahanan itu, suspek pertama yang juga bekas 'Pegawai Khas' IPTS itu akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, manakala rakannya dibawa ke Mahkamah Majistret Kangar, Perlis untuk tujuan permohonan reman. - Sinar Harian