Seleweng dana: SPRM tahan CEO syarikat bergelar Profesor

Astro Awani
Julai 24, 2024 09:35 MYT
Suspek lelaki berusia lingkungan 60-an itu dipercayai menyeleweng dana berkenaan untuk kepentingan peribadi.
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan reman individu bergelar Profesor yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat perkhidmatan pendidikan tinggi kerana dipercayai menyeleweng kira-kira RM270,000 dana syarikat.

Ringkasan AI
  • SPRM menahan reman seorang Profesor dan CEO syarikat perkhidmatan pendidikan tinggi kerana dipercayai menyeleweng dana syarikat berjumlah RM270,000 untuk kepentingan peribadi.
  • Suspek, berusia lingkungan 60-an, ditahan ketika memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM dan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya, di mana dia direman selama tujuh hari sehingga 30 Julai.
  • Siasatan awal mendapati suspek menggunakan wang syarikat untuk membayar hutang, membeli kereta, dan perbelanjaan peribadi lain, serta mengarahkan kakitangan menyediakan surat bayaran gaji bulanan RM12,000 sejak Mac 2023, melebihi kelayakan sebenarnya.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 60-an itu dipercayai menyeleweng dana berkenaan untuk kepentingan peribadi.
Katanya, suspek telah ditahan kira-kira pukul 7 malam tadi ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.
Susulan penahanan itu, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi dan perintah reman selama tujuh hari sehingga 30 Julai dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai menggunakan wang bernilai kira-kira RM270,000 untuk kegunaan peribadi termasuk membayar hutang dan beli kereta serta perbelanjaan peribadi yang lain.
“Suspek juga disyaki mengarahkan kakitangan syarikat menyediakan surat untuk bayaran gaji berjumlah kira-kira RM12,000 sebulan sejak Mac 2023 sedangkan surat pelantikan suspek sebagai CEO hanya melayakkannya menerima lima peratus daripada keuntungan tahunan syarikat,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Akta SPRM 2009.
#SPRM #CEO #seleweng dana syarikat #profesor