Seleweng dana KKLW: Bekas Menteri Kabinet direman
Astro Awani
Oktober 20, 2017 17:59 MYT
Oktober 20, 2017 17:59 MYT
Bekas Menteri Kabinet yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) direman selama empat hari mulai hari ini bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di Sabah.
Majistret Cindy Mc Juce Balitus mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan SPRM untuk ahli politik itu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 17A Akta SPRM 2009.
Beliau yang berusia 60 tahun dan merupakan pemimpin pembangkang di Sabah tiba di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu pada pukul 2.25 petang dengan menaiki ambulans.
Terdahulu, bekas Menteri Kabinet itu dilaporkan dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu selepas mengalami tekanan darah tinggi.
Ahli parlimen dari daerah di Pantai Timur Sabah itu ditahan SPRM pada pukul 9 malam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah.
Sementara itu, seorang jurutera awam yang juga perunding sebuah syarikat turut direman selama enam hari bermula hari ini.
Dengan penahanan bekas Menteri Kabinet dan jurutera itu, jumlah individu yang ditahan SPRM bagi membantu siasatan berhubung kes penyelewengan dana KKLW di Sabah kini berjumlah 11 orang.
Sementara itu ahli keluarga bekas Menteri Kabinet itu turut mencuri tumpuan apabila menyalakan lilin di atas tiga biji kek dipercayai sempena hari lahir pemimpin berkenaan hari ini.
Manakala, lebih 200 penyokong pemimpin pembangkang itu berkumpul di luar kompleks mahkamah dengan berbaju jingga sejak pukul 2 petang.
#bekas Menteri Kabinet
#Hospital Queen Elizabeth
#Kota Kinabalu
#Sabah
#Seleweng dana di Sabah
#Seleweng dana KKLW
#SPRM
#Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia