Seleweng dana kerajaan: Pengarah bebas, pasport diserah kepada SPRM
Bernama
September 3, 2018 13:50 MYT
September 3, 2018 13:50 MYT
Bekas ketua pengarah sebuah bahagian di Jabatan Perdana Menteri (JPM) bergelar "Datuk" yang tahan enam hari berkaitan siasatan penyelewengan dana kerajaan dibebaskan selepas tempoh tahanan reman berakhir hari ini.
Wanita berusia 61 tahun itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 29 Ogos lepas berhubung penyalah gunaan dana Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Majistret Nik Muizzuddin Nik Muhammad membenarkan suspek dibebaskan dan pasport diserahkan kepada SPRM.
Sementara itu, peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz yang ditemui pemberita berkata anak guamnnya memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau sedia memberikan kerjasama sekiranya diarahkan berbuat demikian oleh SPRM selepas ini.
Malah, anak guam kami juga memuji tahap profesionalisme SPRM ketika menjalankan siasatan sepanjang tempoh tahanan ketika ditanya majistret, katanya.
Sebelum ini, siasatan awal SPRM mendapati wanita tersebut dipercayai terlibat bersama-sama tujuh lagi pegawai kanan di JPM yang lain menyalahgunakan peruntukan tersebut bagi tujuan peribadi.
-- BERNAMA
#Bebas
#dana
#Ketua Pengarah
#mahkamah
#pasport
#penyelewengan
#pilihan raya umum
#PRU14
#Rasuah
#reman
#salah guna
#SPRM
#suspek
#wanita