Seleweng dana 1MDB: Siasatan tidak berat sebelah, tuduhan terhadap Najib berasas - Hakim

Bernama
Oktober 30, 2024 19:26 MYT
Najib ketika tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. - Gambar/ Reuters
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan dakwaan pembelaan bahawa siasatan dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi Datuk Seri Najib Tun Razak adalah berat sebelah dan mengelirukan tidak mempunyai merit.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) berkata hal ini kerana siasatan kes 1MDB dimulakan pada 2014 ketika tertuduh masih menjadi Perdana Menteri dan kemudian bersambung pada 2018.
"Berkaitan dakwaan bahawa Datuk Seri Najib ditanya soalan tertentu apabila keterangan beliau di bawah Seksyen 53(3) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diambil, saya dapati ini tidak menimbulkan prejudis terhadap tertuduh memandangkan cara pemeriksaan balas terhadap saksi pendakwaan, khususnya PW49," katanya ketika membaca penghakiman ringkas setebal 41 muka surat selama hampir dua jam.
Saksi pendakwaan ke-49 (PW49) ialah pegawai penyiasat SPRM Penguasa Kanan Nur Aida Ariffin.
Terdahulu, Hakim Sequerah memerintah Najib, 71, untuk membela diri terhadap empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram yang membabitkan jumlah yang sama, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie bagi semua 25 pertuduhan pada akhir kes pendakwaan.
Hakim Sequerah turut menolak dakwaan pembelaan bahawa empat pertuduhan rasuah dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram adalah cacat, berulang dan tidak jelas dan oleh itu tidak mengikut undang-undang dan melanggar Seksyen 163 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) Malaysia.
Beliau berkata setelah meneliti keempat-empat pertuduhan, maka jelas sekali ia mengandungi masa dan tempat serta menyatakan kesalahan yang dikenakan terhadap tertuduh.
"Kesemua empat pertuduhan rasuah dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram itu memenuhi kriteria undang-undang diperlukan bagi sesuatu pertuduhan seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 152, 153 dan 154 KTJ," katanya.
Beliau berkata Seksyen 422 KTJ memperuntukkan sebarang kecacatan dalam pertuduhan boleh diperbetulkan dengan syarat tertuduh tidak prejudis dalam apa-apa cara dan tiada kegagalan keadilan berlaku.
"Saya tidak dapati bahawa tertuduh telah diperdaya atau mengalami prejudis berkaitan pertuduhan yang dikemukakan. Dalam apa jua keadaan, Seksyen 156 KTJ menyatakan bahawa sebarang kesilapan atau kelalaian (yang saya tidak dapati berlaku), dengan pertuduhan tidak boleh dikira sebagai material melainkan telah menyebabkan tertuduh terkeliru, yang tidak berlaku di sini," katanya.
#1MDB #Najib Razak #keputusan mahkamah #keputusan penghakiman #terkini
;