Selesaikan segera masalah SUPP, UPP - PM Najib

Astro Awani
Disember 23, 2017 14:56 MYT
NAJIB mahu isu perbalahan antara SUPP dan UPP diselesaikan segera sebelum PRU14. - Gambar Bernama
Perbalahan antara Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dengan parti serpihannya, Parti Rakyat Bersatu (UPP) harus diselesaikan segera sebelum Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU 14).
Perkara itu ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selain mahu SUPP kembali menjadi sebuah parti pilihan di Sarawak.
Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional percaya, Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari mempunyai formula tersendiri untuk menyelesaikan perkara itu.
“Selesaikan soal SUPP dan UPP ini untuk sekali dan selamanya. Kita ada formulanya, saya pasti Datuk Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg ada program bagaimana menyelesaikan isu ini. Kita akan selesaikan masalah ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya di Majlis Penutupan Persidangan Perwakilan Tritahunan SUPP ke 24 di Kuching pagi Sabtu.
Sementara itu, Perdana Menteri turut mengumumkan sumbangan 50 peratus dana daripada kerajaan persekutuan untuk membiayai tabung mikro yang akan dikendalikan oleh SUPP.
#Najib Razak #Parti Rakyat Bersatu #Parti Rakyat Bersatu Sarawak #SUPP #UPP
;