Selesaikan konflik India-Pakistan secara aman dan diplomasi - TPM

Sahlizah Mohamed
Mac 1, 2019 06:53 MYT
Dr. Wan Azizah ketika melawat galeri selepas merasmikan Yayasan Petronas di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Jumaat. - Foto Astro AWANI
Konfrontasi India dan Pakistan perlu diselesaikan melalui rundingan secara aman dan diplomasi di meja rundingan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, beliau berharap kedua-dua negara berjiran itu dapat di mencari solusi yang baik tanpa mengira perbezaan yang wujud.
“Bagaimana kita menanganinya biarlah secara aman. Kita baik dengan kedua-dua negara. Perdana Menteri Pakistan (Imran Khan) baru datang.
“Perdana Menteri India (Narenda Modi) ke Malaysia pun baru. Jadi kalau ada apa-apa boleh kita selesaikan dengan rundingan secara baik dan diplomasi,” katanya.
Wan Azizah berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas merasmikan Yayasan Petronas di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Jumaat.
Konflik India dan Pakistan semakin tegang Islamabad menembak jatuh dua pesawat tempur India pada Rabu, sehari selepas New Delhi melancarkan serangan udara di wilayah pertikaian Kashmir.
Ekoran daripada insiden itu, Pakistan turut bertindak menahan seorang juruterbang India, Komander Abhinandan Varthaman.
Juruterbang itu ditahan selepas jet pejuang MIG-21 yang dipandunya ditembak ketika pertempuran udara antara tentera kedua-dua negara itu, di Kashmir, kawasan yang menjadi rebutan.
India menyambut baik keputusan Pakistan untuk membebaskan Varthaman yang dijadual pada Jumaat selepas pengumuman dibuat Imran Khan.
#Dr Wan Azizah Wan Ismail #Imran Khan #India #KLCC #konflik #Malaysia #Narendra Modi #New Delhi #Pakistan #pesawat #Petronas #serangan #Timbalan Perdana Menteri #Wan Azizah Wan Ismail