Selesaikan isu pusaka sebelum cerita pembangunan Kampong Bharu - MAS

Wan Syamsul Amly
Januari 24, 2020 05:45 MYT
Menurut Khalid Samad, keputusan berhubung pembelian tanah bagi pembangunan semula Kampong Bharu akan diumumkan pada Jun depan. - Gambar fail
Kerajaan diminta menyelesaikan isu tanah pusaka bergeran dan tidak bergeran di Kampong Bharu sebelum memulakan sebarang perkara berhubung pembangunan lokasi berkenaan.
Setiausaha Kehormat Lembaga Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu (MAS), Shamsuri Suradi berkata, pelbagai persoalan masih tidak dijawab kerajaan berhubung pembangunan kampung yang lahir pada tahun 1900 itu.
"Pada tahun 2030, bentuk Melayu macam mana yang hendak masuk ke sini? Pada saya, kononnya hendak dijenamakan semula, kena berpaksikan sesuatu.
"Jika hendak dibangunkan semula, ia kena berpaksikan kampung warisan, bukan rumah mampu milik.
"Sekurang-kurangnya, buat bandar Melayu Nusantara yang menceritakan bandar ini ada pelbagai etnik - Minang, Kelantan, Melayu dan sebagainya. Bukan rumah mampu milik. Ia kerja kerajaan, letaklah di tempat lain," katanya ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini.
BACA: Pembangunan Kampong Baru: Keputusan pada Jun - Khalid
BACA: Kerajaan yakin penduduk Kampung Baru setuju dengan tawaran baharu
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad sebelum ini berkata, keputusan berhubung pembelian tanah bagi pembangunan semula Kampong Bharu akan diumumkan pada Jun depan.
Jelasnya, ketika ini Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB) masih mempergiat usaha memberi penerangan kepada pemilik tanah berhubung skim pilihan tawaran.
Dalam pada itu Ahli Majlis Penasihat Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB), Syed Badli Syed Osman berkata, seramai 69 peratus atau kira-kira 3,788 pemilik lagi masih belum menghantar borang mengenai pembangunan kampung Melayu itu.
Katanya, isu pembangunan perlu diputuskan dengan adil dan mengikut kemahuan penduduk
"Kena adil dengan penduduk, dengan pemilik, mestilah jumlahnya memadai, kena lebih separuh (jumlah penduduk). Kalau kurang separuh, perkara itu tidak boleh diteruskan.
"Dalam keadaan sekarang, kerajaan mengundang marah kalau diteruskan dengan jumlah kurang separuh. Ia akan mengundang polemik, orang akan marah.
"Kalau lebih separuh, maknanya maklum balas baik, positif. Jika kerajaan dapat (persetujuan) lebih separuh, teruskan dan bawa ke jemaah menteri.
"Kalau kurang separuh, tidak sesuai diteruskan rancangan sedia ada, kerana apa yang paling mustahak, ia mesti lebih separuh. Ia mesti mendapat persetujuan lebih 60, 70 atau lebih baik 80 peratus," jelasnya.
Khalid sebelum ini melahirkan keyakinan penduduk Kampong Bharu akan bersetuju dengan tawaran baharu yang diberikan untuk membeli tanah bagi pembangunan semula di kawasan itu.
Tegasnya, hal ini kerana harga RM1,000 bagi setiap kaki persegi itu merupakan tawaran yang cukup baik dan adil.
BACA: Kampong Baru: Isu jual tanah bukan fokus utama - MAS
BACA: Orang Melayu tidak mampu beli semula tanah Kampung Baru jika harga dinaikkan
Sementara itu, bekas Pemula Runding Pemilik Tanah Kampong Bharu, Shahariah Sabarudin berkata, persoalan yang masih belum jelas adalah pegangan saham bernilai RM150 dalam Syarikat Tujuan Khas (PSV) yang akan ditubuhkan kelak.
Tegasnya, itu akan mencetuskan perselisihan faham sesama ahli keluarga selain ketegangan yang tidak harus berlaku.
"Dalam setiap jual dan beli, ada perundingan. Kami adalah penjual, kerajaan pembeli. Sungguhpun kerajaan kata, ia untuk rakyat memang betul, niatnya betul.
"Tetapi, ia tentang masa, ramai yang risau dengan saham RM150. Dulu ada ditanya kepada pihak Perbadanan Kampong Bharu, mereka tidak boleh jawab. Katanya ia di bawah Kementerian Kewangan.
"Itu wang kerajaan. Kami minta, jangan berbalah, tetapi (isu) saham ini akan berbalah juga nanti, pada penghujung hari," ujarnya.
Pada penghujung Oktober tahun lalu, kerajaan menawarkan nilai RM1,000 satu kaki persegi bagi keseluruhan 825 lot tanah di Kampong Baru.
Bagaimanapun, daripada jumlah itu, RM150 adalah pulangan dalam bentuk pegangan saham dalam PSV yang akan ditubuhkan kelak.
Selain itu, potongan harga sejumlah 15 peratus akan diberikan kepada pemilik tanah yang memilih untuk membeli harta tanah dalam pembangunan yang akan dilaksanakan kelak.
#Kampong Bharu #Kementerian Kewangan #kerajaan #Lembaga Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu #Melayu #menteri #pembangunan #PKB #PSV #rakyat #Shahariah Sabarudin #shamsuri suradi #Syarikat Tujuan Khas #tanah pusaka bergeran
;