Selesaikan isu MH370, keselamatan jalan raya fokus utama Anthony Loke
Bernama
Mei 19, 2018 15:16 MYT
Mei 19, 2018 15:16 MYT
Pengerusi DAP Negeri Sembilan Anthony Loke Siew Fook terkejut dengan pelantikannya sebagai Menteri Pengangkutan dalam Kabinet Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Anthony Loke yang juga Anggota Parlimen Seremban dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chennah berkata pelantikan itu adalah satu tanggungjawab besar khususnya dalam menyelesaikan isu melibatkan kehilangan penerbangan Malaysia Airlines MH370 dan juga keselamatan jalan raya.
"Saya berterima kasih kepada kepimpinan parti dan perdana menteri atas kepercayaan mereka melantik saya sebagai Menteri Pengangkutan.
"Saya tahu ia adalah tanggungjawab besar bukan hanya untuk pengangkutan darat, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tetapi juga penerbangan, maritim, pelabuhan dan sebagainya, tetapi kementerian ini sangat penting untuk membantu pertumbuhan ekonomi.
"Saya juga perlu melihat banyak perkara... banyak isu (seperti) keselamatan jalan raya, daya saing pelabuhan kita dan sudah tentu isu utama bagi kementerian ialah terus mencari kehilangan MH370. Saya harap semasa memegang jawatan ini, kita akan dapat mencapai kesimpulan kepada isu MH370.
"Ini saya fikir sangat penting bukan hanya untuk anggota keluarga tetapi juga industri penerbangan. Saya amat berharap pada bulan-bulan atau tahun-tahun akan datang, kita akan dapat menutup tragedi ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Perdana Menteri semalam mengumumkan Anthony Loke yang juga Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, sebagai Menteri Pengangkutan.
Pesawat Boeing 777 dengan 239 penumpang itu hilang semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014. Usaha untuk mencari pesawat itu sehingga kini masih gagal.
Mengulas lanjut, Loke berkata bagi memenuhi visinya, beliau telah meminta Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Seri Saripuddin Kasim untuk memberikan beliau taklimat lengkap mengenai kementerian itu Selasa depan.
"Saya memberitahu KSU bahawa saya ingin ke lapangan secepat mungkin, (kerana) terdapat banyak isu yang perlu dihadapi dan tentu saja perkara utama yang saya mahu lihat ialah kementerian mesti mengambil inisiatif untuk memastikan keselamatan jalan raya memandangkan kini adalah bulan Ramadan dan tidak lama lagi, orang ramai akan berpusu-pusu balik ke kampung dan setiap tahun kita melihat banyak kemalangan berlaku.
"Ini adalah satu isu yang mahu kita tangani...kita mahu mengurangkan kemalangan jalan raya, memastikan jalan raya adalah selamat untuk semua dan ia adalah agenda utama saya," katanya.
Sepuluh tahun di Parlimen, Anthony Loke berkata pengalamannya itu banyak membantu beliau untuk lebih memahami fungsi kerajaan.
"Sudah tentu saya tidak tahu semuanya, tetapi saya akan belajar. Sebagai menteri baharu, saya mengamalkan minda terbuka (dan) saya akan belajar, semestinya saya memerlukan sokongan daripada penjawat awam," katanya.
-- BERNAMA
#jalan raya
#keselamatan
#Loke Siew Fook
#Mahathir Mohamad
#Malaysia Airlines
#Menteri Pengangkutan
#MH370
#Perdana Menteri
#pesawat