Selesaikan COVID-19, bukan cari salah! - Musa Hitam

Astro Awani
Ogos 1, 2021 08:17 MYT
Musa Hitam berkata semua Ahli Parlimen sepatutnya tidak melepaskan peluang besar itu bagi menangani pandemik ini. -Gambar Facebook Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat perlu jadi sebagai platform menyelesaikan cabaran COVID-19 dan bukan tempat mencari salah sesiapa.
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam berkata, semua Ahli Parlimen sepatutnya tidak melepaskan peluang besar berkenaan bagi menangani pandemik yang menjadi musuh yang tidak dapat dilihat.
"COVID-19 ini tidak ada apa pun kita nak cari salah dan memang bukan tempatnya kita nak cari salah kerana kita menghadapi musuh kepada semua baik pembangkang atau kerajaan, yang berpangkat tinggi, atau orang biasa.
"Kita tahu semua ini. Malangnya apabila Parlimen dipanggil khusus, saya tidak mahu melibatkan diri dengan (mengatakan) siapa yang betul dan siapa yang salah.
"Yang telah diputuskan dan dijalankan misalnya pada baru-baru ini, untuk lima hari sidang, pada saya itulah peluang yang terbesar yang boleh disambar oleh semua Ahli Parlimen.
"Nak bertengkar ke, soalnya ialah supaya kita dapat menghadapi atau memusnahkan cabaran COVID-19," katanya melalui wawancara khas Sinar Harian Bersama Musa Hitam yang turut disiarkan di Facebook Live Sinar Harian pada malam Sabtu.
Selesaikan COVID-19, bukan mencari salah- Musa Hitam
Sidang Dewan Rakyat yang baharu berlangsung selama empat hari kecoh susulan isu pembatalan semua Ordinan Darurat oleh kerajaan.
Persidangan pada 2 Ogos bagaimanapun ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak.
BACA: Corat-coret Mesyuarat Khas Parlimen, apa yang berlaku sepanjang empat hari
Kata Musa, baik Ahli Parlimen pembangkang mahupun kerajaan sepatutnya bersepakat melakukan suatu perancangan berhubung pandemik COVID-19 daripada bertelagah di Parlimen.
"Saya tahu ahli-ahli Parlimen ini ada idea dan sebagainya. Misalnya, mereka perlu ada satu projek yang boleh dilaksanakan," katanya lagi.
Ketika ini, katanya, rakyat memerlukan perhatian wakil rakyat dalam memastikan setiap orang mendaftar dan divaksinasi.
"Setiap seorang Ahli Parlimen perlu balik kawasan dan pastikan setiap penduduk sudah didaftar, dan divaksinasi.
"Kalau tidak, Ahli Parlimen perlu bertanggungjawab 100 peratus memastikannya.
"Yang penting sekali ialah divaksinasi, tetapi masih ramai lagi tidak divaksinasi.
"Setiap Ahli Parlimen dan ADUN perlu ada pakai PPE dan melawat semua penduduk untuk pastikan mereka ambil vaksin," tambahnya.
BACA: Mesyuarat Khas Parlimen pada Isnin ditangguhkan
#COVID-19 #Dewan Rakyat #Tun Musa Hitam #bekas timbalan Perdana Menteri #kerajaan #pembangkang #pandemik #Parlimen #vaksin
;