Selesai segera masalah sekolah daif di seluruh negara - PM

Bernama
Februari 11, 2023 19:33 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis Minum Petang Perdana Menteri bersama semua Jawatankuasa Kuil-Kuil di Seluruh Negara di Kompleks Seri Perdana hari ini. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata tumpuan kerajaan ketika ini ialah untuk segera menyelesaikan masalah sekolah daif di seluruh Malaysia demi kebajikan anak-anak selain meningkatkan mutu pendidikan negara.
Beliau berkata pendekatan Kerajaan Perpaduan pimpinannya adalah untuk memastikan semua sekolah di bawah tanggungjawab kerajaan akan diperbaiki bermula dengan Belanjawan 2023 yang akan dibentang pada 24 Feb ini.
Pada majlis hi-tea bersama pemimpin kuil di Seri Perdana di sini, Anwar berkata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin telah diarah menyenaraikan sekolah daif yang perlu diperbaiki.
"Tumpuan kita tentu perbaiki mutu (pendidikan) dan menyelesaikan (isu sekolah daif) supaya jangan ada rakyat, baik orang Penan dan Dayak di pedalaman Sarawak, India di Ijok, Melayu di Manek Urai, termasuk kategori miskin.
"Jadi, saya beritahu menteri mana sahaja sekolah daif harus disenaraikan tanpa kira jenis sekolah, tanpa kira jenis daerah, tanpa kira siapa pelajarnya. Tanggungjawab kita mulai tahun ini, akan pastikan tumpuan khusus untuk perbaiki semua sekolah daif dalam negara," katanya.
Anwar juga berkata tiada masalah untuk mempertahan bahasa ibunda namun kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan seperti yang diperuntuk dalam Perlembagaan Persekutuan harus dikuasai dengan baik dalam kalangan semua rakyat kerana ia mencerminkan kesepakatan serta perpaduan.
"Kedudukan Bahasa Melayu itu (adalah sebagai) bahasa rasmi, bahasa kebangsaan maka penguasaannya harus baik dalam kalangan semua rakyat, yang itu saya tidak marah langsung.
"Kalau ada sekolah aliran Cina, Tamil atau swasta, Malaysia nyatakan nak kurang beri tumpuan kepada bahasa kebangsaan, saya tidak akan izinkan," katanya.
Beliau berkata penguasaan bahasa lain harus diberi sokongan kerana ia dianggap ilmu yang akan memberi faedah kepada negara.
Katanya selain pendidikan, kemudahan kesihatan negara mesti dijamin namun kejayaan itu perlu mendapat sokongan dan kerjasama untuk menyelamatkan negara yang rosak akibat salah guna kuasa.
-- BERNAMA
#masalah sekolah daif #Perdana Menteri Anwar Ibrahim #pendidikan #Kerajaan Perpaduan
;