Selesai pertikaian Laut China Selatan secara baik - Najib

Hakim Rahman
April 27, 2015 15:47 MYT
NAJIB: ASEAN perlu menguruskan perbezaan seperti tuntutan bertindih maritim tanpa menambah ketegangan dalam negara ASEAN.
ASEAN perlu menangani isu pertikaian di Laut China Selatan secara proaktif, positif dan konstruktif.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata ASEAN perlu menguruskan perbezaan seperti tuntutan bertindih maritim tanpa menambah ketegangan dalam kalangan negara anggota.
Jelasnya, langkah itu perlu demi meneruskan hubungan kerjasama dengan negara luar ASEAN.
"Menghormati undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai undang-undang laut mesti menjadi asas peraturan pembabitan dan aktiviti di Laut China Selatan.
“Sebagai pengerusi, Malaysia berharap kita akan mencapai kemajuan dalam usaha kita ke arah rumusan awal kod tatalaku (COC)," kata Najib ketika berucap pada majlis pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-26 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Perdana Menteri juga mengajak semua negara ASEAN bekerjasama bagi memastikan 'Abad Asia' akan turut menjadi 'Abad ASEAN'.
Tambahnya, melalui ASEAN berpaksikan rakyat, yang bertujuan menempa sebuah komuniti yang mengiktiraf persamaan dalam kepelbagaian dan kejayaan yang dikongsi bersama, misi berkenaan mampu dicapai.
#ASEAN #Konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu #Laut China Selatan #maritim #najib #tuntutan bertindih
;