Selesai masalah orang ketiga sebelum laksana sistem pembayaran levi oleh majikan - MEF

Rahimah Abdullah
Januari 12, 2017 12:19 MYT
Kabinet pada Rabu bersetuju menangguhkan sehingga tahun depan pelaksanaan pembayaran levi pekerja asing oleh majikan di bawah Komitmen Mandatori Majikan (EMC). - Gambar hiasan
Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) mencadangkan kerajaan menyelesaikan masalah kewujudan orang ketiga sebelum melaksanakan sistem pembayaran levi pekerja asing oleh majikan tahun depan.
Pengarah Eksekutifnya, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, langkah itu bagi mengurangkan kos pengambilan pekerja asing kesan daripada campur tangan orang tengah berkenaan.
"Apabila pihak majikan membuat rayuan kepada kerajaan untuk memansuhkan sistem Komitmen Mandatori Majikan (EMC) berkenaan, itu menunjukkan fakta bahawa kebanyakan perkara-perkara EMC berkenaan adalah tidak lagi diperhalusi dan mengikut sistem, pengambilan pekerja asing itu tidak berubah.
"Jadi, kalau kita nak lakukan pertukaran kepada sistem sedia ada, jadi kita perlu membuat perubahan kepada ekosistem berkenaan terutama kehadiran pihak ketiga di dalam pengambilan pekerja asing yang sebenarnya merupakan isu yang perlu diperhalusi lagi," katanya semasa dihubungi Astro AWANI di sini hari ini.
Kabinet pada Rabu bersetuju menangguhkan sehingga tahun depan pelaksanaan pembayaran levi pekerja asing oleh majikan di bawah Komitmen Mandatori Majikan (EMC), yang sepatutnya berkuat kuasa 1 Januari lalu.
MEF bagaimanapun menyambut baik pengumuman Kabinet menangguhkan pelaksanaan sistem baharu bagi memberi masa kepada majikan untuk membuat persediaan terutama dari segi kewangan.
"Langkah penangguhan berkenaan sangat dialu-alukan kerana majikan pada tahun ini masih tidak bersedia menanggung kos yang terlibat yang amat tinggi iaitu RM5 bilion setahun. Jadi langkah berkenaan sebenarnya membantu majikan untuk bertahan sekurang-kurang untuk tahun 2017," katanya lagi.
Pihak ketiga dalam pengambilan pekerja asing berkenaan adalah melibatkan mereka yang datang dari dalam dan luar negara.
"Adanya pihak ketiga ini, ia telah meningkatkan kos pekerja asing kira-kira 66 peratus. Jadi kalau kita tidak menggunakan perkhidmatan pihak ketiga ini, kos pengambilan pekerja asing ini dapat diturunkan ke-66 peratus," jelasnya.
Justeru, MEF berharap kerajaan mengamalkan sistem Kerajaan Dengan Kerajaan (G2G) bagi mengatasi masalah kewujudan orang ketiga dalam pengambilan pekerja asing.
"Sistem G2G sebenarnya akan dapat mengurangkan karenah birokrasi dengan lebih baik lagi. Kebanyakan sektor terkesan dengan kos pengambilan orang asing melalui orang ketiga terutamanya melibatkan pengambilan pembantu rumah," kata Shamsuddin.
Dalam pada itu katanya, pihak majikan dan kerajaan perlu duduk semeja untuk mengurangkan kebergantungan negara kepada pekerja asing.
"Kita harus perhalusi sistem pengambilan pekerja asing dan melihat kebergantungan pekerja asing ini dapat dikurang peringkat demi peringkat supaya nanti kita perlukan pekerja asing pada sektor-sektor yang pekerja tempatan memang tidak mahu membuatnya,"jelasnya. Pada akhirnya nanti, pekerja asing itu nanti, jumlahnya tidaklah seperti apa yang kita ada sekarang ini dan isu PATI dapat ditangani dengan lebih baik lagi," ujarnya.
#levi #MEF #orang tengah #pekerja asing #pembayaran levi
;