Selesai bertemu Lembaga Disiplin UMNO, MKT akan tentukan nasib Tun Faisal
Ridauddin Daud
Januari 12, 2022 14:16 MYT
Januari 12, 2022 14:16 MYT
KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Ketua Bahagian UMNO Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz pada Rabu selesai menghadap Panel Rayuan Lembaga Disiplin UMNO berhubung penggantungan keahlian selama enam tahun yang dikenakan terhadapnya.
Bagaimanapun, katanya, masih tiada keputusan baharu dibuat berhubung penggantungan itu dan pertemuan selama satu jam itu hanya melibatkan perbincangan dan hujah beliau untuk kes tersebut.
Menurut Tun Faisa, keputusan lanjut hanya akan ditentukan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) kelak namun tarikhnya masih belum diketahui.
“Selepas ini, adalah seperti lazimnya ia akan ditentukan MKT. Panel akan membawa kepada mesyuarat pengurusan dan selepas itu MKT.
“Selepas itu barulah ditentukan nasib saya sama ada hukuman kekal atau dikurangkan atau ada hukuman lain yang diringankan. Itu tidak pasti.
“Tapi setakat ini, saya berharap semoga ahli-ahli panel tadi berdasarkan perbincangan dan keterbukaan tadi boleh menerima pandangan dan hujah balas saya dan mengembalikan hak saya sebagai ahli yang telah digantung,” katanya kepada Astro AWANI ketika ditemui di Ibu Pejabat UMNO di sini, hari ini.
[TERKINI] Sesi Tun Faisal bersama Panel Rayuan Lembaga Disiplin UMNO
Ketika ditanya adakah beliau akan terus lantang mengkritik dan memberikan cadangan kepada UMNO, Tun Faisal menegaskan, pandangan yang diberikan selama ini adalah untuk kebaikan UMNO dan perjuangan parti.
“Jadi pada saya pandangan-pandangan ahli seperti ini sangat penting untuk UMNO agar terus kekal relevan.
"Cuma saya berharap dari segi nak berhadapan dengan pilihan raya dan proses pemulihan negara, saya harap kita boleh tumpukan usaha kepada pengukuhan dan menyatukan parti. Kurangkan perbalahan dan kurangkan perbezaan pendapat secara terbuka.
“Kita fokus macam mana kaedah untuk pastikan UMNO kuat, kukuh dan boleh menang pilihan raya dengan lebih cemerlang pada masa akan datang,” ujarnya.
Astro AWANI sebelum ini melaporkan Tun Faisal mempersoalkan keputusan MKT UMNO yang menggantung keahliannya selama enam tahun.
Tegasnya, beliau pelik dengan hukuman enam tahun tersebut kerana sebelum ini ada beberapa pemimpin mengkritik Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan lebih keras namun tidak pula dikenakan tindakan sebegitu.
Menurutnya, apa yang disuarakan sebelum ini berupa cadangan kepada Ahmad Zahid dan bukannya kritikan.