Selepas tular, Muhammad Syukur si 'Budak Koboi' terima anugerah murid unggul

Astro Awani
Januari 13, 2019 10:39 MYT
Muhammad Syukur Khamis (tengah) dijulang Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Terengganu Jelani Sulong (empat, kiri) hari ini. - Foto Bernama
Muhammad Syukur Khamis, 14, pada Ahad menerima Anugerah Pencapaian Murid Unggul Daerah Kuala Terengganu, selepas gambarnya bersama sekumpulan kerbau tular di media sosial.
Pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin itu diraikan dalam satu majlis penganugerahan ringkas yang disempurnakan oleh Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Terengganu, Jelani Sulong.
“Terima kasih kepada pihak sekolah atas penghargaan hari ini, tidak lupa guru-guru serta kawan-kawan yang turut sama meraikan,” kata Syukur seperti dipetik dari portal Bernama.
“Saya bangga kerana selepas gambar itu menjadi viral, rakan-rakan ramai yang bertanya bagaimana saya boleh berinteraksi dengan baik bersama “rakan-rakan” saya itu, saya kata kepada mereka, saya dah bergaul dengan haiwan ini sejak dari kecil,” tambahnya.
Difahamkan, Syukur telah menjadi buruan lensa jurugambar dalam dan luar negara sejak beberapa tahun lepas lagi.
Bagaimapun, beliau mendapat populariti selepas gambar yang memaparkan kebolehannya berinteraksi dengan lebih 100 ekor kerbau peliharaan ayahnya, Khamis Jusoh, 63, tular di media sosial.
BACA: Dulu hina, ejek saya dengan kakak, kini... - 'Budak koboi'
Gambar Syukur mendapat perhatian selepas gambar berkenaan muncul juara peringkat Asia dan terus digelar sebagai 'Syukur The Kampung Boy' oleh netizen.
Pelajar tingakatan dua itu berharap anugerah yang diperolehnya akan turut memberi inspirasi kepada rakan-rakan lain supaya menyantuni haiwan kerana ia juga makhluk ciptaan Allah yang mempunyai naluri seperti manusia.
Syukur berkata selain memberi motivasi kepada dirinya, anugerah yang diterima hari ini diharap turut dapat memberi inspirasi kepada rakan-rakan lain supaya menyantuni haiwan kerana ia juga makhluk ciptaan Allah yang mempunyai naluri seperti manusia.
Pengetua sekolah berkenaan, Zah Mohamad berkata anugerah yang diterima Syukur bertepatan dengan nilai-nilai yang ada dalam diri pelajar berkenaan iaitu kasih, saling menghormati, kebahagiaan dan kemanusiaan.
“Kita juga mempunyai perancangan yang teratur supaya tahap pendidikan Syukur yang kini berada pada tahap sederhana dapat ditingkatkan menjadi pelajar cemerlang,” katanya.
#anugerah #Budah Koboi #budak kerbau #Kuala Terengganu #media sosial #Muhammad Syukur Khamis #sekolah #viral