Selepas tinggalkan DAP, ADUN Elopura dan Sri Tanjong kini milik Warisan

Alexion Mairin
Mac 26, 2022 15:54 MYT
Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menerima borang kemasukan ke parti itu daripada ADUN Sri Tanjong, Justin Wong Yung Bin dan ADUN Elopura, Calvin Chong Ket Kiun di Ibu Pejabat Warisan. - Foto Warisan
KOTA KINABALU: Dua bekas ahli Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah, hari ini mengumumkan secara rasmi menyertai Parti Warisan (Warisan)
Pengumuman berkenaan dibuat dalam sidang media khas di Ibu Pejabat Warisan yang turut dihadiri beberapa pemimpin tertinggi parti terbabit.
Dua ADUN terbabit adalah ADUN Sri Tanjong, Justin Wong Yung Bin dan ADUN Elopura, Calvin Chong Ket Kiun.
Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyatakan Warisan adalah platform yang tepat untuk dua ADUN berkenaan meneruskan perjuangan politik masing-masing di negeri ini.
"Hari ini hari yang amat penting bagi kita khususnya Parti Warisan dalam pada itu kita melihat banyak cerita tentang Justin dan Calvin dari Tawau dan Sandakan. Mereka telah menyatakan keluar pada bulan satu tahun ini daripada parti DAP.
"Mereka menyatakan kepada saya keinginan mereka mempertahankan hak rakyat Sabah dan mereka mendapati Warisan adalah landasan terbaik untuk itu." katanya dalam sidang media yang diadakan di Kota Kinabalu Pada Sabtu.
Sementara itu, Adun Sri Tanjong, Justin Wong Yung Bin menyatakan tindakan menyertai Parti Warisan adalah atas dasar tanggungjawab kepada pengundinya selain memperjuangkan hak-hak Sabah.
"Saya percaya ini akan menjadi satu keadilan kepada pengundi apabila saya menyertai parti pembangkang di Sabah yang lantang memperjuangkan hak-hak Sabah.
"Bukan itu sahaja malah untuk meningkatkan taraf negeri ini ke tahap lebih tinggi.
"Saya percaya individu yang paling layak memimpin hala tuju politik saya adalah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang telah jelas terbukti dan jujur memperjuangkan hak-hak Sabah," katanya.
Dalam pada itu, Calvin Chong berkata, berada dalam parti pembangkang tidak menghalangnya untuk melaksanakan tanggungjawab utama iaitu memperjuangkan kepentingan rakyat.
"Kita berjuang untuk rakyat, itu yang betul kerana saya tahu kita susah.
"Walaupun lebih dua tahun kita jadi pembangkang, saya tahu jalan ini susah tapi saya masih memilih untuk bersama Warisan sebab kita mahu buat untuk rakyat dan bukan untuk poket sendiri."jelasnya.
Calvin Chong dan Justin Wong bersama bekas senator, Adrian Lasimbang mengumumkan keluar parti awal tahun ini dengan alasan kegagalan DAP Sabah melaksanakan perjuangan membela nasib rakyat Sabah.
#Calvin Chong #Justin Wong #keluar DAP #Masuk Warisan
;