Selepas tiga tahun tangguh Majlis Konvokesyen, UTM raikan 8,956 graduan
Siti Nur Aqilla Omar
Disember 11, 2021 13:32 MYT
Disember 11, 2021 13:32 MYT
JOHOR BAHRU: Selepas tiga tahun terpaksa menangguhkan sesi Majlis Konvokesyen akibat pendemik COVID-19, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), hari ini menganjurkan Majlis Konvokesyen ke-64 (MK64) dengan meraikan 8,956 graduan.
Majlis turut mengisytiharkan Pro-Canselor Universiti yang baharu, Yang Amat Mulia Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam dan Tan Sri Jamaludin Ibrahim.
MK64 berlangsung bermula hari ini hingga 18 Disember depan, yang disempurnakan Canselor UTM yang juga Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, di Dewan Sultan Iskandar (DSI), UTM Johor Bahru.
Raja Zarith Sofiah dalam titah ucapan baginda, mengingatkan para graduan disamping meraikan hari yang cukup bermakna ini, tidak melupakan mereka yang terkesan akibat COVID-19.
“Dalam kegembiraan kita meraikan kejayaan pada hari ini, janganlah dilupakan mereka di luar sana yang terkesan akibat pandemik COVID-19 ini.
“Masih ramai yang hidup dalam keadaan serba kekurangan kerana kehilangan pekerjaan, kematian ahli keluarga dan juga pelbagai sebab yang lain.
“Saya berharap kita semua yang berkemampuan dapat bersama-sama membantu dalam menghulurkan apa-apa jua pertolongan dan sumbangan kepada mereka,” titah baginda.
Baginda juga menzahirkan ucapan penghargaan kepada petugas barisan hadapan, serta penjawat awam yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam membendung penularan wabak COVID-19.
“Jangan kita lupa juga jasa-jasa pekerja pembersihan di hospital-hospital dan tempat-tempat awam.
“Ucapan ribuan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Johor, Yayasan Sultan Ibrahim Johor, Yayasan saya iaitu Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor, NGO, pertubuhan kebajikan masyarakat dan pihak swasta serta negara jiran yang banyak menghulurkan bantuan sama ada dari segi kewangan, peralatan kesihatan dan lain-lain lagi,” titah baginda lagi.
Sementara itu, Naib Canselor UTM, Prof Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail berkata, sesi kali ini dijalankan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat kerana hanya graduan dibenarkan masuk untuk sesi konvokesyen menggunakan kenderaan bas ulang-alik yang disediakan oleh universiti.
Katanya tiada perarakan graduan masuk ke dewan kerana setiap graduan perlu menjalankan sesi saringan kesihatan sendiri seperti bacaan suhu dan sanitasi tangan sebelum terus masuk ke tempat duduk masing-masing seperti yang ditetapkan melalui sistem UTM i-Convo.
"UTM telah melahirkan seramai 206,301 graduan dengan 9,005 adalah graduan antarabangsa daripada lebih 70 buah negara.
"Menurut laporan yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada tahun 2021, kadar kebolehpasaran graduan (GE) UTM 2020 ialah 91.5%, iaitu antara yang tertinggi dalam kalangan Universiti Awam (UA) Malaysia; melebihi peratus (%) purata GE UA iaitu pada 84.4%. Ini membuktikan bahawa UTM berjaya menghasilkan graduan yang berkualiti yang menjadi rebutan industri di pasaran.
"Graduan UTM merupakan penyambung perjuangan mengangkat martabat UTM sebagai institusi pendidikan tinggi yang telah membentuk jiwa dan raga dengan kepakaran teknologi dan nilai-nilai insani,"katanya.
Majlis Konvokesyen kali ini diadakan dalam 13 sesi, penganugerahan Ijazah diberikan kepada 748 graduan Ijazah Doktor Falsafah, Ijazah Sarjana (1915), Ijazah Sarjana Muda (4326) dan Diploma (1967).
Daripada jumlah itu, seramai 812 orang graduan antarabangsa dari 54 buah negara turut dianugerahkan ijazah, Nigeria, Iran dan Pakistan merupakan tiga negara dengan bilangan graduan tertinggi.
Penerima Anugerah Diraja, Yap Sin Yee adalah merupakan Felo Perdana 2021 Perdana Menteri dan turut telah menerima tawaran untuk menyambung PhD dalam penyelidikan berkaitan machine learning for neuroimaging di University of Cambridge untuk sesi pengajian pada Oktober 2022.
Lebih manis, MK64 ini juga menyaksikan kejayaan luar biasa graduan warga emas iaitu Dr Abdul Rahim Ramli yang menamatkan pengajian pada usia 70 tahun dalam program Doktor Falsafah (Perancangan Bandar dan Wilayah).
Selain graduan adik-beradik, Dr Sarah Athirah Saruchi dan Dr Sarah 'Atifah serta pasangan ibu dan anak, Dr Yasmin Hanafi Zaid bersama anaknya, Yazlin Izzati Yaakop.
#Majlis Konvokesyen
#Universiti Teknologi Malaysia
#Permaisuri Johor
#Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah