Selepas tiga hari, mayat lelaki mangsa lemas di Sungai Sarawak ditemui
Munirah Mudzamli
Januari 16, 2021 12:54 MYT
Januari 16, 2021 12:54 MYT
KUCHING: Lelaki yang hanyut ketika cuba menyelamatkan teman wanitanya di Sungai Sarawak dekat sini ditemui dalam keadaan tidak bernyawa oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) sekitar jam 12.00 tengah hari Sabtu.
Mayat Awangku Sahibul Awang Sazali, 33 tahun ditemui di dalam timbunan daun keladi di kawasan perairan Kampung Tupong, di sini.
Menurut Pengarah Bomba dan Pencari dan Penyelamat Negeri, Khiruddin Drahman, penemuan ini hasil gerakan bersepadu dan terancang pasukan SAR yang mengesan lokasi mangsa dengan mengambil kira faktor arus deras.
Mayat mangsa dibawa ke Pusat Kawalan Bomba di Jambatan Tun Abdul Rahman Yaakub untuk proses pengecaman awal sebelum diserahkan kepada pihak polis.
Dalam insiden sekitar jam 12.57 tengah hari Khamis, mangsa dihanyut arus deras ketika cuba menyelamatkan teman wanitanya, yang terjun ke sungai berkenaan berhampiran Medan Selera Kubah Ria.
Wanita berusia 27 tahun itu bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh pekerja tongkang yang berada kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian.