Selepas tertangguh, WCIT kembali dengan edisi ke-6

Abd Razak Mohd Ali
Oktober 8, 2022 09:15 MYT
Nordin (dua, kanan) pada sidang media mengenai Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia yang dijadual berlangsung di Casuarina Convention Centre, Meru, Ipoh, pada 18 Oktober ini. - Foto Astro AWANI
IPOH: Selepas tertangguh pada 2020 kerana pandemik COVID-19, Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) kembali dengan edisi ke-6, 18 Oktober ini.
Seramai 1,000 pemikir yang terdiri daripada para ulama, pemimpin, intelektual, profesional dan masyarakat dalam dan luar negara dijangka menghadiri persidangan anjuran Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) itu.
Naib Canselor USAS Tan Sri Prof Dr Nordin Kardi berkata, persidangan itu akan diadakan di Casuarina Convention Centre, Meru, dengan tema Perkongsian Nilai Kemanusiaan (Sharing Our Humanity).
“USAS telah menganjurkan WCIT sejak 2012 lagi dan ia kini diiktiraf sebagai satu jenama yang telah diwartakan sebagai salah satu acara kerajaan negeri Perak.
“Kali terakhir diadakan adalah pada tahun 2018 dan tertangguh selama beberapa tahun kerana pandemik COVID-19),” katanya semasa sidang media di RTM Perak, di sini, baru-baru ini.
Hadir sama, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Hal Ehwal Pelajar, Prof Datuk Dr Wan Sabri Wan Yusof serta Timbalan Naib Canselor Pentadbiran dan Kewangan, Prof Madya Dr Anas Md Yusof.
Nordin berkata, tujuan utama penganjuran persidangan itu adalah untuk menyediakan platform bagi para pemikir serta masyarakat dalam dan luar negara untuk berinteraksi secara bebas serta bertukar idea dalam persekitaran intelektual yang dinamik serta kondusif.
“Persidangan ini merupakan satu inisiatif bagi menangani masalah sebenar yang wujud dalam dunia Islam masa kini,” ujarnya.
Menurutnya, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan untuk menyampaikan titah utama diraja, di samping merasmikan persidangan tersebut.
Katanya, persidangan sehari itu akan mengetengahkan barisan pembentang dan moderator terkenal, termasuk dari luar negara.
Antaranya ialah Pengerusi Lembaga Pengarah USAS, Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali; bekas Duta Besar Jepun ke Malaysia, Makio Miyagawa; Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Republik Indonesia, Dr Sandiaga Salahuddin Uno; Pengerusi Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) Datuk Seri Mohd Hishamudin Md Yunus; Chargee d’affaires Kedutaan Perancis di Malaysia, Virginie Bioteau dan Chargee d’affaires Delegasi Kesatuan Eropah ke Malaysia, Timo Goosmann.
Tokoh lain ialah Profesor Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM, Prof Dr Sivamurugan Pandian;
Pengarah Eksekutif Penang Institute, Datuk Dr Ooi Kee Beng, dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Institute Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Dr Muhammed Abdul Khalid.
#WCIT #USAS #Nordin Kardi #Pemikir
;