Selepas 'siakap' Langkawi, 'sotong' di Pulau Pinang pula didakwa 'harga kayangan'

Dewi Nur Harasha Alias
November 24, 2021 19:34 MYT
Perkongsian pelanggan tersebut mendapat perhatian ramai sehingga tular di laman sosial hari ini yang rata-rata mendakwa harga tersebut mahal. - Foto media sosial
GEORGETOWN: Selepas tular harga ikan siakap kayangan di Langkawi, Kedah baru-baru ini, kini isu harga kayangan pula kecoh di Pulau Pinang apabila harga dua ekor sotong didakwa mencecah RM100.
Ia berpunca daripada perkongsian seorang pelanggan di media sosial mengenai pengalamannya menikmati menu nasi kandar di sebuah restoran nasi kandar popular di itu semalam.
Pelanggan tersebut memuat naik gambar sepinggan nasi kandar berserta resit pembayaran yang memaparkan harga bagi dua ekor sotong goreng segar berharga RM100.
Resit tersebut turut memaparkan harga bagi sepinggan nasi beriyani kosong berharga RM4.50, nasi putih (RM1.50), dua biji telur masin (RM2), papadom (RM3) dan timun (RM2).
Menerusi perkongsian itu, pelanggan terbabit mengingatkan orang ramai agar lebih berhati-hati sekiranya ingin menikmati nasi kandar di negeri tersebut kerana menyifatkan harganya agak mahal.
Perkongsian pelanggan tersebut mendapat perhatian ramai sehingga tular di laman sosial hari ini yang rata-rata mendakwa harga tersebut mahal.
Sementara itu, Pengarah Restoran Hameediyah, Muhammad Riyaaz Syed Ibrahim ketika dihubungi Astro AWANI hari ini memaklumkan pihaknya telah meletakkan tanda harga bagi setiap menu di restoran mereka.
Katanya, pelanggan tersebut dipercayai telah memesan sotong bersaiz lebih besar dengan harga yang telah ditetapkan.
Ketika diberikan resit, pelanggan terbabit membayar harga makanan tersebut tanpa mempersoalkan harga yang dikenakan terhadap mereka.
Bagaimanapun, pelanggan berkenaan bertindak memuat naik resit berkenaan di laman sosial Facebook pada malamnya seolah-olah tidak berpuas hati dengan harga berkenaan.
Mengulas lanjut, Muhammad Riyaaz berkata, pihaknya membeli sotong mentah dengan harga yang mahal iaitu mencecah RM35 hingga RM50 sekilogram.
Harga untuk saiz sotong yang dipesan pelanggan tersebut adalah harga standard yang ditetapkan di restorannya, tambahnya.
Berikutan itu, Muhammad Riyaaz berkata pihaknya sudah membuat penjelasan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berhubung kos dan harga jualan sotong goreng berkenaan.
#nasi kandar #harga sotong #sotong mahal #hameediyah
;