Selepas seminggu hilang, usaha cari Huntley terus diperhebat

Bernama
Jun 3, 2014 07:59 MYT
Usaha mencari dan menyelamat Gareth David Huntley terus dipergiatkan
Selasa, genap seminggu warga Britain, Gareth David Huntley, 34, hilang di Kampung Juara di sini, dan pencariannya terus menemui jalan buntu.
Bagaimanapun, usaha mencari dan menyelamat sukarelawan Pusat Penyu Juara itu terus dipergiatkan dengan penambahan aset dan anggota penyelamat.
Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Ab Ghani berkata kawasan pencarian Huntley diperluaskan sejauh tujuh kilometer persegi dari lokasi beliau dilaporkan hilang di kawasan Air Terjun Lubuk Teja di Kampung Juara pada Selasa lepas.
Anggota-anggota penyelamat seramai 154 orang merangkumi Polis Pahang, Polis Marin, Rela, Tentera Darat, Bomba dan Penyelamat Pahang dikerahkan mencari dan menyelamat Huntley, katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi Huntley dilaporkan hilang di Air Terjun Lubuk Teja di sini.
Huntley, yang bekerja dan tinggal di Projek Juara Penyu di Kampung Juara, Pulau Tioman dilaporkan hilang setelah pergi ke Air Terjun Lubuk Teja pada hari berkenaan.
Sharifuddin berkata pasukan mencari dan menyelamat turut menambah empat lagi ekor anjing pengesan iaitu dua dari Unit K9 dan dua ekor dari bomba, menjadikan jumlah anjing pengesan tujuh ekor kini.
Seramai 20 anggota VET 69 dari Kem Ulu Kinta, Perak juga akan menyertai misi mencari Huntley pada hari Rabu menjadikan usaha itu kini di tahap maksimum.
Ditanya kemungkinan Huntley pergi ke kawasan air terjun itu atau ke tempat lain, Sharifuddin berkata pihaknya mengambil kira semua kemungkinan kerana sehingga pihaknya tidak mendapat sebarang petunjuk.
"Tadi saya melalui sendiri laluan yang digunakan mangsa untuk ke Air Terjun Lubuk Teja. Saya tengok treknya cantik dan ada diletakkan penanda arah jalan sepanjang jalan, jadi untuk mangsa sesat di laluan kawasan itu atau sebaliknya kita ambil semua kemungkinan itu," katanya.
Sementara itu, ibu Huntley, Janet Southwell, yang berusia 50-an, berkata dia berpuas hati dengan semua usaha yang dilakukan oleh pasukan keselamatan dalam mencari anaknya.
Wanita itu, yang tiba di sini pada hari Isnin dari Britain, berkata beliau kini hanya mampu berdoa dan berharap anak kedua daripada tiga beradik itu segera ditemui dalam keadaan selamat.
Menurutnya Huntley dijangka memulakan kerja baharunya di Singapura pada minggu depan dan mahu menghabiskan cutinya di Pulau Tioman selama 10 hari dengan menjadi sukarelawan di Pusat Penyu Juara.
"Kali terakhir saya bercakap dengannya ialah 10 hari lepas.
"Saya mahu berada di Pulau Tioman apabila mereka menemuinya. Saya yakin ada hasil yang baik...marilah kita berdoa untuk keselamatannya," kata beliau.
#Britain #Gareth David Huntley #Kampung Juara #Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Ab Ghani
;