Selepas selamatkan adik, si abang pula dikhuatiri dihanyut arus dan lemas
Ernalisa Othman
Januari 13, 2021 11:56 MYT
Januari 13, 2021 11:56 MYT
BATU PAHAT: Kegembiraan dua beradik menghabiskan waktu petang bersama-sama lima rakan berakhir tragedi apabila salah seorang daripada mereka dikhuatiri lemas ketika mandi-manda dalam sebuah parit Jalan Taman Manis 6, Parit Raja di sini pada Selasa.
Kejadian pada 5.17 petang itu difahamkan bermula dengan mangsa, Mohd Naqiuddin Adnan, 16 tahun, baru sahaja menyelamatkan adiknya yang terjatuh dalam parit dan berjaya membawanya ke tebing parit.
Setelah itu, Mohd Naqiuddin yang kembali semula mandi bersama-sama rakannya dikatakan dibawa arus dan dikhuatiri lemas.
Seramai 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam dengan satu jentera Fire Rescue Team (FRT) dan satu utiliti kenderaan pacuan empat roda dikejarkan ke tempat kejadian.
Komander Operasinya, Penolong Penguasa Bomba Mohamad Shamin Mohamed Salikin berkata, pihaknya menjalankan operasi pencarian mangsa dalam parit yang berkedalaman 3 meter dan lebar 10 meter.
Pihak bomba membuat tindakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dengan menggunakan teknik 'surface searching' dari lokasi mangsa lemas ke arah arus air yang bertentangan iaitu arah pintu air.
Operasi dilakukan pada jarak lebih kurang 1 kilometer.
Katanya lagi, operasi disambung semula hari ini.