Selepas Putra dan Pas, #RasuahBusters pula gesa Azam Baki berehat

Ridauddin Daud
Januari 6, 2022 17:26 MYT
Rakyat mahu melihat wibawa moral SPRM sebagai badan yang berakauntabiliti dan boleh diharap bertindak segera untuk mencegah, mendakwa dan mendidik masyarakat. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki perlu berehat bagi membuka ruang untuk SPRM fokus kepada usaha pemulihan di samping mengembalikan maruah institusi tersebut.
Gesaan itu disuarakan Ketua Sekretariat #RasuahBusters, Norhayati Nordin yang menegaskan rakyat mahu melihat wibawa moral SPRM sebagai badan yang berakauntabiliti dan boleh diharap bertindak segera untuk mencegah, mendakwa dan mendidik masyarakat.
Tegasnya, sebarang risiko yang menjadi penghalang kepada usaha mengembalikan integriti SPRM sebagai badan yang bebas wajar dikekang.
SPRM kenal pasti dalang yang cuba jatuhkan Ketua Pesuruhjaya
“Perdana Menteri dan Parlimen turut bertanggungjawab mengembalikan kepercayaan rakyat kepada SPRM.
“Manakala rakyat sebagai kumpulan pendesak perlu sedar bahawa sebarang “slanderous statements” terhadap insitusi awam boleh memprejudiskan sebarang tindakan untuk membawa pesalah kemuka pengadilan.
“Maka setiap dakwaan dan tindakan memerlukan verifikasi serta bukti yang tepat,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
BACA: Isu Azam Baki: Kegagalan beri penjelasan menyeluruh hakis kepercayaan terhadap SPRM - IDEAS
BACA: Putra pertikai sidang media bersih nama Azam Baki, mahu kerajaan tubuh jawatankuasa bebas
SEMUA MENGENAI KONTROVERSI MEMBABITKAN AZAM BAKI DI SINI
Tambahnya, #RasuahBusters tidak akan bertoleransi dengan tingkah laku rasuah dan salah guna kedudukan yang mewujudkan apa jua potensi konflik kepentingan dan menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap badan berkenaan.
“SPRM harus bebas, sebagai badan profesional yang dihormati. Isu peribadi tidak wajar mengatasi kepentingan ini. Konflik ini tidak harus ditangani secara emosi.
“Kuasa di tangan kita adalah amanah besar agar seluruh ekosistem negara ini ditadbir secara jujur dan tulus.
Kredibiliti Azam Baki dipersoal
“Kestabilan sistem inilah yang ingin kita pulih dan sejajarkan bersama perjuangan membangun budaya moral bersama #RasuahBusters agar negara ini bersih daripada belenggu rasuah dan kekal harmoni,” ujarnya.
Katanya lagi, meskipun Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) telah tampil menjelaskan kemelut kepimpinan tertinggi SPRM, ia sebenarnya mendedahkan jawapan yang mengundang lebih banyak persoalan kepada rakyat.
“Kelemahan siasatan LPPR telah menimbulkan persepsi bahawa SPRM gagal berfungsi secara bebas.
“Oleh itu, #RasuahBusters bersama rakyat mendesak agar badan tersebut lebih telus dalam memperincikan dan melanjutkan siasatan terhadap kenyataannya berkaitan isu membabitkan Tan Sri Azam Baki,” katanya.
-ENDS-
#SPRM #Azam Baki peroleh peroleh saham #Norhayati Nordin #RasuahBusters
;