Selepas pantun, pelbagai item warisan, kebudayaan akan disenarai bersama Indonesia

Astro Awani
November 10, 2021 16:27 MYT
Ismail Sabri berkata, inisiatif itu akan memastikan tidak timbul isu kebudayaan yang kadang-kala boleh menjejaskan hubungan Malaysia-Indonesia yang selama ini terjalin begitu baik. - Foto Pejabat Perdana Menteri
JAKARTA: Malaysia mengajak Indonesia untuk membuat penyenaraian bersama bagi beberapa lagi item warisan kebudayaan yang dikongsi bersama ke Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada masa hadapan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Malaysia dan Indonesia berkongsi banyak persamaan dalam pelbagai perkara termasuk adat, tradisi dan warisan kebudayaan.
"Persetujuan saya dengan Presiden (Joko Widodo), kita akan kenal pasti mana-mana kebudayaan yang boleh kita masuk dalam senarai bersama.
"Ini supaya tidak timbul isu kebudayaan yang kadangkala boleh menjejaskan hubungan yang selama ini terjalin begitu baik," katanya dalam kenyataan bersama Presiden Jokowi yang dikeluarkan di Bogor, Indonesia pada Rabu.
Pada tahun 2020, kedua-dua negara telah membuat penyenaraian bersama bagi pantun secara 'multi-national nomination' ke UNESCO.
Dalam pertemuan empat mata di Istana Presiden itu, Ismail Sabri dan Jokowi turut berbincang dan mengambil maklum bahawa terdapat kemajuan dalam rundingan sempadan maritim di antara kedua-dua negara.
"Dalam hal ini, saya memberi jaminan Malaysia akan terus komited untuk mencapai penyelesaian bagi memuktamadkan pembatasan sempadan maritim tersebut.
"Kami bersepakat agar usaha dan perbincangan selanjutnya dapat diteruskan," ujarnya.
Dalam pertemuan itu, dua Memorandum Persefahaman (MoU) telah dimeterai di antara Malaysia dan Indonesia iaitu mengenai "Kerjasama Dalam Bidang Pendidikan" dan "Kerjasama dan Bantuan Bersama Dalam Perkara Kastam".
Sebanyak lima MoU dan perjanjian juga akan dimeterai oleh sektor swasta kedua-dua negara dengan nilai pelaburan AS$3.1 bilion.
[TERKINI] Kenyataan bersama Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Indonesia
#ismail sabri yaakob #Joko Widodo #warisan kebudayaan #diplomasi budaya
;