Selepas Nurul Izzah, Nurul Nuha pula dipanggil polis
Haider Yutim
Mac 17, 2015 17:59 MYT
Mac 17, 2015 17:59 MYT
Selepas Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar ditahan reman satu malam oleh polis, kini adiknya pula, Nurul Nuha Anwar dipanggil untuk dirakam percakapan berhubung perhimpunan #KitaLawan.
Bagaimanapun menurut Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, tarikh serta waktu rakaman percakapan masih belum ditetapkan.
"Nurul Nuha tiada di situ (IPD Dang Wangi)... tarikh belum ditetapkan seperti dalam mesej saya tadi.
"Saya berhubung dengan peguamnya dan saya boleh sahkan beliau tiada di Dang Wangi," katanya kepada Astro AWANI ketika ditanya sama ada Nurul Nuha sudah disoal siasat di Dang Wangi atau belum.
Bagaimanapun menurutnya, anak kedua kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim itu berkemungkinan akan disiasat di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan yang ada kaitan dengan penganjuran perhimpunan haram.
Sementara itu, ahli PKR Subang, S Jayathas dilaporkan telah ditahan polis di IPD Dang Wangi kira-kira jam 3.00 petang tadi.
Menurut Fahmi, beliau hadir bersama peguamnya, Sivamalar Genapathy untuk memberi kerjasama dalam siasatan berkaitan perhimpunan #KitaLawan.
Namun, katanya polis telah berjanji untuk membebaskan Jayathas sekitar jam 10 malam ini, memandangkan beliau seorang pesakit buah pinggang.
Jayathas merupakan individu yang kesepuluh yang telah ditahan berkenaan himpunan #KitaLawan yang diadakan sejak 10 Februari lalu menuntut pembebasan Anwar.
Ia berikutan Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar setelah mendapatinya bersalah atas kesalahan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan tujuh tahun lalu.