Selepas Nuan-Nuan, apa nama anak kedua panda gergasi?

Hasimi Muhamad
Julai 31, 2019 05:31 MYT
Duta Besar China Ke Malaysia Bai Tian (dua, kanan) hadir untuk melihat sendiri anak beruang panda baharu yang dilahirkan Liang Liang sewaktu sesi pengenalan kepada media di Zoo Negara pada Mei 2018 lalu. --fotoBERNAMA/Fail
Lima tahun lalu, siapa sangka Malaysia akan menerima pasangan panda gergasi dari China bernama Xing Xing dan Liang Liang sempena ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik kedua-dua negara.
Kedatangan pasangan itu untuk memulakan kehidupan baharu di perantauan selama 10 tahun begitu mengujakan rakyat Malaysia.
Malah, ketika pertama kali haiwan itu dibawa ke “penginapan baharu” mereka di Zoo Negara, “tetamu istimewa” ini disambut dengan gah apabila diiringi polis, selain disambut kakitangan zoo serta 200 kanak-kanak tadika.
Di sebalik keterujaan rakyat Malaysia, Xing Xing (jantan) dan Liang Liang (betina) pula perlu membiasakan diri dari tempat asal mereka yang terletak ribuan kilometer di wilayah Sichuan, barat daya China.
Pada 18 Ogos 2015, sekali lagi rakyat Malaysia dan China menerima berita gembira apabila anak pertama pasangan gergasi itu selamat dilahirkan.
Kelahiran Nuan Nuan yang bermaksud “mesra” disifatkan satu sejarah besar buat Malaysia kerana mampu membuatkan pasangan gergasi itu melahirkan anak dalam tempoh 15 bulan sahaja.
Bagaimanapun, selepas Nuan Nuan mencecah usia dua tahun, keputusan berat terpaksa dibuat.
Nuan Nuan dihantar pulang ke negara kelahiran kedua ibu bapanya di Pengkalan Panda Dujiangyan, Sichuan, pada 14 November 2017.
Keputusan itu dibuat kerana mengambil kira sifat biologi semulajadi ibu panda memisahkan diri dengan anaknya sebaik mencecah usia matang pada dua tahun.
Namun, kerinduan terhadap Nuan Nuan terubat apabila pasangan Xing Xing dan Liang Liang menghadiahkan adik baharu.
Liang Liang dilaporkan bunting selama 89 hari sebelum melahirkan anaknya secara semula jadi pada kira-kira 7.50 pagi 14 Januari 2018, dengan berat 150 gram.
Bermula 25 Mei 2018, orang ramai berpeluang menyaksikan penampilan anak panda itu di Zoo Negara.
Pasti rakyat Malaysia tidak sabar untuk mengetahui nama baharu anak panda ini, bukan? Sama-sama kita nantikan.
#anak panda gergasi kedua #China #hubungan diplomatik #Liang Liang #nama anak panda #Nuan Nuan #Panda #panda gergasi #rakyat Malaysia #Xing Xing
;