Selepas merentas Kutub Selatan, Shahrom ingin jelajah Kutub Utara pula
T K Letchumy Tamboo
Februari 15, 2016 07:45 MYT
Februari 15, 2016 07:45 MYT
Suhu yang melampau, penjelajahan yang memenatkan dan cuaca yang tidak menentu.
Ini adalah antara cabaran yang terpaksa dilalui oleh Shahrom Abdullah, 37, warganegara Malaysia pertama yang melakukan ekspedisi merentas Kutub Selatan sejauh hampir 1,000km dengan cuma menggunakan ski.
Namun demikian, cabaran-cabaran tersebut dapat diatasi oleh beliau dengan semangat kentalnya, walaupun hampir putus asa.
"Pada minggu terakhir, hampir 180km ke Kutub Selatan, saya mengalami sesak nafas. Dalam perjalanan itu, kami sungguh penat dan sesak nafas.
"Terasa lemah, oksigen tidak cukup. Rakan sepasukan sudah ke hadapan, jadi saya tertinggal. Rakan sepasukan saya tunggu saya berehat.
"Namun demikian, apa yang kita sasarkan pada hari itu tercapai. Ketika hampir putus asa, saya terfikir, adakah saya akan hancurkan harapan kelab, penaja dan rakyat Malaysia? Fikiran itulah yang membangkitkan semula semangat saya," katanya semasa ditemui dalam suatu majlis meraikan kejayaannya di Menara Felda, di sini, hari ini.
Dalam majlis tersebut, yang turut dihadiri oleh Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim, Shahrom telah dihadiahkan dengan ganjaran wang tunai sebanyak RM20,000 sebagai tanda penghargaan kepadanya.
Katanya, ekspedisi yang sepatutnya ditamatkan dalam masa 50 hingga 60 hari, dapat dihabiskan dalam tempoh 37 hari 4 jam kerana kerjasama oleh rakan sepasukannya dari Kanada, United Kingdom dan Jordan.
Berkongsi tentang pemakanannya sepanjang ekspedisi tersebut, Shahrom berkata biasanya, mereka akan disediakan dua kepingan Muesli, dua kepingan protein, satu beg buah-buahan kering, satu kepingan coklat serta sedikit kekacang.
Shahrom, anak jati Felda Chiku di Gua Musang, Kelantan, bercadang untuk menjelajah Kutub Utara pula selepas ini dan dalam jangka masa panjang, ingin mendaki 14 puncak ketinggian 8,000 meter ke atas di banjaran Himalaya.
Shahrom memulakan ekspedisinya pada 9 Disember 2015 selepas tarikh asalnya tertangguh selama dua minggu akibat masalah penerbangan dari Union Glacier ke Messner Inlet kerana cuaca tidak mengizinkan.
Ekspedisi KE7B Rentas Kutub Selatan 2015 itu dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Julai tahun lalu.