Selepas Makcik Kiah, ini pula syarat untuk Pak Salleh buka kedai pada 4 Mei ini

Hasimi Muhamad
Mei 1, 2020 14:28 MYT
Dalam Perutusan Khas sempena Hari Pekerja, beliau menerangkan secara mudah bagaimana Pak Salleh boleh memula operasi perniagaannya sambil mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Kalau sebelum ini, Perdana Menteri menggunakan watak "Makcik Kiah" sebagai analogi semasa menutup ucapannya membentangkan Pakej Rangsangan Ekonomi Rakyat (PRIHATIN), namun berbeza pula kali ini apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini memilih karakter masyarakat bernama “Pak Salleh”.
Dalam Perutusan Khas sempena Hari Pekerja, beliau menerangkan secara mudah bagaimana Pak Salleh boleh memula operasi perniagaannya sambil mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
"Mulai 4 Mei, iaitu Isnin ini, seperti saya katakan dulu, Pak Salleh boleh buka semula restoran, dan sehari dua ini boleh bersihkan restoran, bersihkan pinggan mangkuk, sudu periuk dan alat memasak, susun meja dan kerusi serta beli stok barang mentah.
"Pak Salleh kena memastikan jarak dua meter antara satu meja dengan yang lain. Ini penting supaya di tengah-tengahnya ada ruang yang agak luas untuk pelanggan dan pekerja lalu dan ada jarak yang selamat antara pelanggan yang makan di situ,” kata beliau, hari ini.
Untuk pastikan penjarakan sosial ketika pelanggan makan, Muhyiddin berkata Pak Salleh boleh meletakkan notis dengan menghadkan sekurang-kurangnya tiada orang setiap meja, bergantung kepada saiz meja.
“Kalau meja besar, mungkin tiga orang atau empat orang. Ini Pak Salleh kena tentukan.
“Keduanya, buatkan garisan di lantai depan kaunter bayaran. Ukur garisan sekurang-kurangnya satu meter antara satu sama lain.
“Ini untuk memastikan pelanggan beratur dengan jarak sekurang-kurangnya satu meter di depan atau di belakang pelanggan yang lain ketika mereka hendak membuat bayaran.
"Beli face mask (topeng muka) dan beri kepada pekerja serta pastikan mereka pakai setiap masa. Pada hari pertama pembukaan restoran, periksa suhu badan pelanggan sebelum dibenarkan masuk ke restoran dan gunakan pengimbas suhu badan yang sesuai," katanya lagi.
Selain itu, Perdana Menteri berkata, Pak Salleh dikehendaki mencatat nama dan nombor pelanggan serta tarikh dan masa mereka mengunjungi restoran beliau.
Ini kerana, menurut Perdana Menteri langkah itu penting bagi mengesan kontak rapat sekiranya ada pelanggan yang positif mengunjungi restoran Pak Salleh.
“Jadi, sebenarnya banyak kerja yang Pak Salleh kena buat sebelum boleh buka semula restoran.
“Semua ini penting untuk pastikan supaya tiada pelanggan Pak Salleh yang terkena jangkitan COVID 19. Pemilik restoran, food truck dan gerai makan yang lain pun mesti buat perkara yang sama,” katanya lagi.
Dengan pelaksanaan SOP tersebut, Perdana Menteri berkata para pelanggan boleh datang makan di restoran atau membeli makanan dengan rasa selamat.
“Jika masih was-was, bungkus sajalah. Tak perlu makan di restoran. Ini mungkin lebih baik,” ujarnya.
#COVID-19 #ekonomi #Kedai makan #Mak Cik Kiah #Muhyiddin Yassin #operasi #Pak Salleh #Perdana Menteri #PKP #SOP
;