Selepas makanan, inisiatif Rahmah diperluas kepada pakaian
Astro Awani
Februari 11, 2023 19:40 MYT
Februari 11, 2023 19:40 MYT
JOHOR BAHRU: Selepas inisiatif Menu Rahmah mendapat sambutan yang menggalakkan dalam kalangan rakyat, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berhasrat memperluaskan variasi program Jualan Rahmah melibatkan industri pakaian, menjelang Aidilfitri ini.
Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, satu sesi libat urus bersama penggiat industri pakaian di negara ini akan diadakan pada minggu hadapan,
Untuk membincangkan pelaksanaan inisiatif itu, bagi mengurangkan beban rakyat dalam mendepani perayaan Hari Raya Aidilfitri, April depan.
"Saya baru sahaja menghubungi beberapa pemain industri pakaian dalam negara kita.
“Mungkin menjelang Aidilfitri ini ada Rahmah baharu yang akan kita lancarkan. Ini melibatkan industri pakaian," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Program ReDI peringkat negeri Johor di sebuah pusat beli belah, di sini pada Sabtu.
Harga pakaian yang dijual menerusi program Rahmah itu dijangka lebih rendah berbanding harga pasaran.
Bagaimanapun, jelas Salahuddin, penentuan terhadap harga dan senarai produk akan dibincangkan dalam pertemuan bersama pemain industri tersebut
Manakala pengumuman rasmi mengenai inisiatif itu dijangka akan dibuat pihaknya dalam masa terdekat.