Selepas lima hari, mayat mangsa lemas ketika menjala ditemukan
Mirlen Axtius
Julai 13, 2022 18:56 MYT
Julai 13, 2022 18:56 MYT
TENOM: Mayat seorang lelaki akhirnya berjaya ditemukan selepas lima hari operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan di Sungai Padas Panawan Kuala Tomani, di sini setelah mangsa dilaporkan hilang.
Ketua Balai Bomba Tenom, Mohd Zainal Bin Sinsian berkata mangsa berjaya ditemukan pada jam 1.30 tengah hari tadi oleh penduduk kampung bersama pasukan bomba dengan dibantu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).
Mayat ditemukan sekitar enam kilometer dari tempat mangsa dilaporkan hilang sebelum ini.
"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak PDRM dan akan diserahkan kepada PDRM untuk siasatan selanjutnya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom menerima laporan pada 9 Julai lalu, bahawa terdapat seorang mangsa lemas semasa menyeberangi sungai untuk menjalankan aktiviti menjala ikan.