Selepas lebih 7 jam di SPRM, mana Rosmah Mansor?

Rahimah Abdullah
September 26, 2018 17:10 MYT
Ini merupakan kali kedua Rosmah dipanggil ke suruhanjaya itu. - Gambar Astro AWANI
Walaupun lebih tujuh jam sudah memberi keterangan, kelibat isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor masih belum kelihatan keluar dari Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini.
Persoalannya, mana Rosmah?
Sebaliknya, hanya dua peguamnya, Datuk Geethan Ram Vincent dan Datuk K. Kumaraendran dilihat keluar dan masuk di lobi Ibu Pejabat SPRM sebelum beredar dari bangunan berkenaan.
Rosmah sebelum itu tiba kira-kira jam 9.50 pagi menaiki kenderaan jenis Perdana.
Beliau difahamkan sedang memberi keterangan kepada SPRM berhubung siasatan kes pengubahan wang haram.
Ini merupakan kali kedua Rosmah dipanggil ke suruhanjaya itu.
Rosmah sebelum ini diberikan notis untuk hadir oleh pegawai SPRM pada pukul 10 pagi semalam.
Notis berkenaan diserahkan pada petang Selasa.
BACA: Rosmah tiba di SPRM
Pada 5 Jun lalu, Rosmah dipanggil SPRM untuk dirakam keterangan berhubung skandal SRC International Sdn Bhd.
Pada 24 September, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata, siasatan terhadap isteri bekas Perdana Menteri itu telah siap dan telah diserahkan kepada Peguam Negara.
Media sebelum ini melaporkan Rosmah dijangka berdepan lebih 20 pertuduhan jenayah, kebanyakannya membabitkan penggubahan wang haram.
Khamis lepas, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi) Datuk Azam Baki berkata agensi itu tidak menolak kemungkinan Rosmah akan didakwa dalam masa terdekat.
#Azam Baki #Geethan Ram Vincent #isteri bekas PM #K Kumaraendran #Mohd Shukri Abdull #Rosmah Mansor #SPRM #Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
;