Selepas lebih 30 jam "ghaib", remaja hilang dalam semak selamat ditemui

Mingguan Wanita
Januari 13, 2022 12:32 MYT
Mangsa merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Laloh, Kuala Krai dipercayai keluar dari rumah kira-kira pukul 9 malam sebelum ibunya menyedari remaja itu tidak pulang kira-kira pukul 3 pagi semalam. - Foto Mingguan Wanita
SELEPAS lebih 30 jam ghaib, syukur remaja hilang dalam semak selamat ditemui.
Mujur tiada perkara yang buruk menimpa remaja ini kerana tempoh 30 jam bukan satu tempoh yang singkat.

Selepas 30 jam ghaib ...

Seorang remaja lelaki yang dipercayai ‘ghaib’ selepas membuang air kecil dalam semak berhampiran rumahnya di Kampung Pasir Linggi ditemui selamat petang tadi selepas lebih 30 jam hilang.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, Muhammad Iznun Al Azim Mahadi, 13, ditemui pada pukul 5.30 petang dalam keadaan lemah kira-kira dua kilometer dari rumahnya.

Katanya, penduduk kampung menemui mangsa berhampiran sebuah jambatan di kampung itu selepas usaha mencari dilakukan pagi tadi.

Syukur, akhirnya ditemui ...

“Mangsa ditemui lengkap memakai baju kemeja-t lengan pendek berwarna merah berlogo Mickey Mouse dan berseluar pendek warna hitam.

“Mangsa sudah diserahkan kepada ahli keluarga. Selain itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa terus ditamatkan,” katanya.

Kosmo! Online hari ini melaporkan, seorang remaja lelaki tingkatan satu dilaporkan hilang selepas membuang air kecil di sebalik kawasan semak berhampiran rumahnya di Kampung Pasir Linggi di sini kelmarin.

Choon Foo berkata, mangsa merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Laloh, Kuala Krai dipercayai keluar dari rumah kira-kira pukul 9 malam sebelum ibunya menyedari remaja itu tidak pulang kira-kira pukul 3 pagi semalam.

Katanya, sebelum itu mangsa dikatakan melepak bersama dua rakan baiknya di hadapan rumah sambil bermain telefon bimbit.

Tentu saja ahli keluarga remaja ini bersyukur tidak terhingga apabila anak yang dicari ditemui selamat. Alhamdulillah...
Artikel asal ini diterbitkan di portal Mingguan Wanita
#remaja hilang #muhammad iznun al azim mahadi #SMK Laloh Kuala Krai #hilang dalam semak