Selepas larangan merokok di tempat makan, perokok jadi lebih pengotor?

Salim Aziz
Februari 21, 2019 08:15 MYT
Tiga pengutip sampah di Langkawi bercerita tentang impak selepas penguatkuasaan larangan merokok di tempat makan.
Wahai perokok, ke mana anda buang puntung-putung rokok itu?
Dalam 10 minit sahaja, lebih 300 puntung rokok yang dibuang, berjaya dikutip di kaki lima jalan serta di persisiran pantai di Langkawi, Kedah.
Ini membuktikan bahawa golongan perokok gagal mengawal tabiat membuang puntung merata-rata meskipun setelah penguatkuasaan larangan merokok di tempat awam serta di premis penjualan makanan dilaksanakan.
Kisah dua gadis dan seorang lelaki pengutip sampah dari Langkawi ini, boleh dijadikan teladan.
Meskipun mereka tidak dibayar gaji, apatah lagi mendapat penghargaan serta pujian, mereka langsung tidak jemu melakukan kerja sukarela itu walaupun ada mata-mata yang melemparkan pandangan jelik selain senyuman sinis.
Menurut Michael Leow Seng, 46 tahun, yang berusaha menyampaikan mesej tentang tabiat kebersihan dan kesihatan kepada orang ramai ini, perbuatan membuang puntung rokok sewenang-wenangnya dalam kalangan perokok amat mengecewakan.
“Saya mula menyertai kerja-kerja amal kutip sampah ini setelah balik Langkawi. Saya menyertai Trash Hero Langkawi yang kutip sampah plastik.
"Tetapi disebabkan saya perokok, saya dulu buang banyak sangat (puntung rokok) merata-rata, jadi sekarang macam 'pay back' balik.
“Sebenarnya (kalau) nak salahkan perokok, saya tak berani nak kata apalah. Macam baru-baru ini, memang sedia maklum, sudah tak boleh hisap rokok di restoran.
“Saya perhati selama satu bulan selepas akta dikuatkuasakan, perokok akan keluar dari restoran pada jarak 3 meter. Apabila hal ini terjadi restoran dah tak sediakan tempat buang rokok.
“Dulu mereka buang rokok di lantai restoran, tapi pemilik restoran akan bersihkan. Sekarang ini, mereka buang di luar. Sepatutnya pemilik (kedai makan) kena sediakan jugalah tempat buang puntung rokok.
“Di tepi pantai ini, tengoklah puntung rokok ini. Cuba bayangkan ikan, penyu dan burung makan puntung rokok tu. Bayangkan apa nak jadi,” tegas Michael.
Ibarat tiada penghujung, biarpun selepas puntung-puntung rokok itu dikutip, seminggu kemudian, ia kembali menimbun di tempat sama, dengan jumlah yang hampir sama banyaknya.
Itulah cabaran yang ditempuh mereka dalam melakukan tugas mulia berkenaan.
“(Nasihat) kepada perokok-perokok ini, pertama, kalau boleh janganlah merokok. Kenapa nak merokok 4,000 toksin? Namun, (jika) memilih merokok untuk rosakkan diri sendiri, kenapa nak rosakkan (pula) alam sekitar? Lepas tu buang (puntung) merata-rata pula,” tegas Latifah Zaidi, 26 tahun.
“Merokok memang tak boleh nak halang. Memang mereka dah pilih nak merokok. Bukan kita paksa mereka merokok. (Cuma) cuba pilih tak buang merata-rata. Ambil botol, buang puntung rokok dalam tu,” pesan Dasi Ong Yaqut Ong, 23 tahun.
Walau apapun yang terjadi, tiga sahabat ini, bersepakat meneruskan usaha murni mereka sebagai permulaan kepada orang ramai, dalam menghargai kebersihan alam sekitar.
#Langkawi #larangan #michael leow seng #pencemaran #penguatkuasaan #puntung rokok #rokok #tabiat merokok
;