Selepas langgar babi hutan, penunggang motosikal maut digilis kereta
Hakim Rahman
April 9, 2017 17:08 MYT
April 9, 2017 17:08 MYT
Seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh seekor babi hutan sebelum terjatuh dan digilis kereta.
Mangsa, Mohd Atan Monadam, 52, maut serta-merta di tempat kejadian di Kilometer 4, Jalan Parit Raja Darat, Batu Pahat, 7.30 pagi tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari Parit Raja Darat menghala ke pekan Parit Raja.
"Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa melanggar seekor babi hutan yang melintas menyebabkan dia terjatuh ke jalan.
"Tidak lama selepas itu, sebuah kereta yang datang dari arah belakang tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa, motosikal serta babi hutan itu," katanya dalam kenyataan.
Katanya, pemandu wanita berusia 45 tahun itu, tidak cedera namun trauma selepas berlaku kejadian itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.