Selepas lama berdiam diri, PAS akhirnya putuskan terima Konsensus Nasional

Astro Awani
Februari 9, 2014 15:17 MYT
Cadangan Konsensus Nasional yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini akhirnya disambut baik oleh PAS.
Dalam satu kenyataan media pada Sabtu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bekata, keputusan menerima Konsensus Nasional itu dibuat menerusi perbincangan di kalangan pimpinan PAS Pusat untuk meneliti berbagai aspek dalam menekuni persoalan konsesus itu.
"Sehubungan itu, PAS menyambut baik cadangan tersebut sebagai usaha merungkai serta menyelesaikan kemelut dalam negara kita ini.
"PAS ingin menegaskan bahawa sebarang tujuan murni ke arah keharmonian dalam masyarakat adalah wajar diperkukuhkan, sebagaimana yang pernah disumbangkan oleh PAS menerusi pelbagai jawatankuasa dan majlis perundingan negara," katanya.
Abdul Hadi berkata, konsesus itu juga selari dengan keperluan muzakarah yang disebutkan beliau dalam ucapan penggulungan Muktamar PAS ke-59 lalu.
"Oleh itu, PAS berharap agar pihak kerajaan dapat menyatakan terma-terma dan proses Konsensus Nasional ini sebagai langkah untuk bergerak ke hadapan," katanya lagi.
Pada hujung Januari lepas, Najib dilaporkan sebagai berkata Konsensus Nasional yang diusahakan kerajaan berasaskan empat teras iaitu sosial, politik, kerajaan dan hubungan antarabangsa.
Cadangan yang dibuat dalam mesyuarat Kabinet itu meneliti satu pelan untuk membangunkan dan menggalakkan persekitaran kondusif untuk dan dapat membantu menggalakkan perdamaian nasional menerusi perpaduan dan konsensus di dalam negara.
#Abdul Hadi Awang #konsensus nasional #Najib Tun Razak #PAS #UMNO
;