Selepas kepala air, banjir kilat landa kampung, taman di Yan
Adie Sufian Zulkefli
Oktober 20, 2021 22:46 MYT
Oktober 20, 2021 22:46 MYT
YAN: Sekurang-kurangnya 160 rumah terjejas akibat dilanda banjir kilat selepas hujan lebat selama beberapa jam di daerah Yan, pada Rabu.
Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusof berkata, pihaknya mula menerima panggilan berkaitan banjir kilat jam 6.30 petang.
"Antara kawasan terjejas adalah Kampung Perigi, Kampung Raga, Titi Bakong, Kampung Lubuk Boi, Pekan Yan, Pulau Chengai Mukim Yan, Pekan Singkir Darat, Singkir Kedai Keling, Singkir Genting dan Mukim Singkir.
"Setakat ini Pekan Yan masih dinaiki air dan tidak dapat dilalui oleh kenderaan kecil," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Turut terjejas perkampungan sekitar Titi Hayun dan Batu Hampar selain pekan Yan turut dinaiki air setinggi antara 0.5 hingga 1 meter.
Mohd Muaz berkata, bagaimanapun tiada mangsa yang dipindahkan buat masa ini dan pemantauan oleh anggota APM masih dilakukan.
Sementara itu menurut seorang mangsa, Murshirul Umar, 39, ini kali kedua rumah ibu bapanya yang terletak di Kampung Raga dimasuki air.
"Saya juga sempat melihat air deras ketika dalam perjalanan ke rumah ayah yang seakan sama seperti kejadian kepala air sebelum ini dan airnya sangat deras,” ujarnya.
Menurut Murshirul, ketika kejadian bapanya, Umar Abu Yazid, 60-an dan ibunya, Siti Aisyah Hanafi, 60-an tidak sempat berbuat apa-apa dan hanya menutup lubang dalam rumah bagi mengelak air memasuki rumah.
Katanya, barangan dalam rumah turut ditenggelami air sedalam 0.5 meter akibat air yang turun terus dari arah Gunung Jerai.