Selepas Karpal tiada

Noor Azam Shairi
April 20, 2014 08:00 MYT
Apakah hudud akan ada selepas Karpal Singh tiada? Apakah masalah PAS dengan DAP berhubung hudud sekarang ini sudah boleh selesai? Itu antara persoalan yang bermain dalam kepala sesetengah orang apabila mereka menerima berita orang kuat DAP itu meninggal dunia. Bagi sesetengah orang, itu bukan hanya pertanyaan tetapi kepercayaan — mereka percaya itulah yang akan terjadi: masalah PAS dan DAP selesai dan hudud pun dilaksanakan.
Malah, ada juga di kalangan penganalisis politik yang membuat rumusan betapa landskap politik negara ini akan berubah setelah Karpal tiada.
Benarkah begitu?
Apa yang mereka tanyakan atau percaya itu boleh difahami. Ini kerana Karpal adalah antara bahagian utama dalam naratif tentang Islam dan undang-undang Islam di negara ini. Karpal dan isu pelaksanaan hudud berpisah tiada.
Menjelang pilihan raya umum 1990, Karpal dipetik oleh Utusan Malaysia sebagai berkata: "Mahu bentuk negara Islam? Langkah mayat saya dulu." Laporan itu terbit pada 8 Oktober 1990.
Laporan itu adalah untuk melaga-lagakan DAP dengan PAS. Tetapi PAS kemudiannya menang pilihan raya di Kelantan dan membentuk kerajaan negeri. Dalam tempoh lebih kurang tiga tahun selepas itu, Dewan Undangan Negeri Kelantan meluluskan enakmen berhubung hudud. Tun Dr. Mahathir Mohamad yang jadi Perdana Menteri pada waktu itu kemudiannya mengirim sepucuk surat kepada Nik Aziz Nik Mat meminta Menteri Besar Kelantan itu supaya tidak melaksanakan hudud.
Cerita surat Dr. Mahathir kepada Nik Aziz itu satu cerita yang lain pula tetapi inilah latar belakang yang harus kita fahami.
Pada kematiannya, segelintir pihak mengungkit balik kenyataan Karpal itu. Ada yang menunggang agama Islam dan mencemuh peguam terhormat dan ahli politik teruji itu dengan kata-kata kesat — tidak padan dengan agama yang konon mengajar umatnya supaya bersederhana, lembut, mesra, ramah, berbudi bahasa, berakhlak, sopan, segan, bersangka baik dan menghormati makhluk Tuhan yang lain hatta pokok dan binatang sekalipun.
Makanya, tidak timbul soal siapa hendak langkah mayat Karpal. Adalah tidak masuk akal apabila ada yang membaca kenyataan Karpal itu secara harfiah. Gilakah mereka yang membaca kenyataan itu secara literal? Gila apa juga apabila ada yang bertanya siapa yang pertama hendak melangkah mayat Karpal?
Itu namanya tidak reti bahasa.
Hanya yang tidak reti bahasa sahaja yang tidak faham kata-kata Karpal tentang hudud. Itulah sebabnya lama beratus-ratus tahun dahulu pemikir Melayu, Abdullah Abdul Kadir yang digelar sebagai munsyi mengecam orang Melayu yang tidak mahu belajar bahasanya sendiri sebagai "orang bodoh".
Bekas Menteri Besar Kelantan Nik Aziz Nik Mat (kanan) dalam kenang-kenangannya terhadap Karpal Singh kesal kerana tidak sempat memberikan pemahaman yang mendalam tentang hudud kepada mendiang.
Belasungkawa: Karpal Singh dari kaca mata Nik Aziz
"Langkah mayat saya dulu" maknanya sampai mati pun seseorang itu tidak akan berganjak dengan pendiriannya. Peneroka bandar yang rumah mereka hendak dirobohkan atas nama pembangunan itu pun, kepada penguasa mereka berkata "langkah mayat kami dulu". Itu namanya bahasa Melayu tinggi.
Itulah yang Karpal buat sepanjang hidupnya: dia menolak pelaksanaan hudud dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan seperti yang diimpikan oleh bapa pendiri bangsa — Tunku Abdul Rahman dan rakan-rakan — bahawa negara ini sekular.
Tidak tahulah, apakah ini masalah tidak reti bahasa atau tidak membaca atau sebenarnya kura-kura dalam perahu, pura-pura tidak tahu.
Dalam Konvensyen Pakatan Rakyat pada 2010 — 20 tahun selepas kenyataannya itu — Karpal menjelaskan apa yang beliau maksudkan dengan "langkah mayat saya dulu". Beliau mengingatkan tentang identiti negara ini yang dibentuk oleh Perlembagaan Persekutuan bahawa Malaysia ini sebuah negara sekular tetapi Islam adalah agama persekutuan. Tentang negara Islam, katanya, hal itu boleh dirundingkan.
Dek pendiriannya selama ini, Karpal dituduh anti Islam — dan kerana di negara ini, Islam itu terikat dengan kaum: bahawa menjadi Melayu adalah Islam dan memeluk Islam boleh jadi 'Melayu' dan bumiputera — dia juga dituduh anti Melayu.
Tetapi rasanya mereka yang menunggang agama dan mencaci-maki serta menghina Karpal pada kematiannya itu barangkali lebih anti Islam dan anti Melayu kerana tindakan mereka itu menconteng arang kepada nama Islam dan Melayu.
Kalau mereka tidak mampu menghayati ajaran Islam sekali pun, begitukah budi bahasa orang Melayu? Maknanya, selain gagal menjadi baik kerana menganut Islam, mereka ini juga gagal menjadi orang Melayu. Kalau seorang Melayu yang beragama Islam itu tidak seperti orang Melayu dan Muslim yang sepatutnya, tidak mempunyai adab dan tingkah laku sebagai seorang Melayu dan Muslim, mereka itu apa?
Kita tidak harus apologetik atau malu untuk mengatakan bahawa negara ini bukan negara Islam. Negara majoriti orang Islam, ya; negara Islam, bukan. Lihat saja di sekeliling kita dan kalau kita tidak menutup mata sebelah dan jujur kepada diri sendiri, kita tahu bahawa negara ini bukan negara Islam.
Jangan kita tertipu dengan proklamasi itu dan ini, dan jangan kita menipu diri kita sendiri.
Tetapi adakah semua itu akan berubah hanya kerana Karpal sudah tiada? Adakah landskap politik negara juga akan berubah?
Adalah terlalu naif kalau kita percaya bahawa semua dan segala-galanya akan berubah sesudah Karpal tiada. Matinya Karpal ini kepada DAP ibarat orang berjalan yang tersadung tunggul di tengah denai — ibu jari luka dan langkah jengkot sedikit tetapi jalan tetap jalan. Pemerhati dan penganalisis politik yang percaya landskap politik negara akan berubah barangkali tidak faham pendirian DAP dan bagaimana ia mentafsirkan Perlembagaan Persekutuan.
Itu pun mungkin namanya tidak reti bahasa, tidak membaca dan kura-kura dalam perahu, pura-pura tidak tahu.
_______________________________
Nota kaki: Ahli Parlimen Langkawi, Nawawi Ahmad meminta maaf atas kenyataannya menyeru orang ramai melangkah mayat Karpal Singh. Beliau bukanlah satu-satunya orang yang membuat kenyataan seperti itu.
#belasungkawa #hudud #Karpal Singh #Komentar
;