Selepas 'drama' putus cinta, tahu-tahu Shila, Ubai bertunang
Umavathi Ramayah
Mei 27, 2023 18:19 MYT
Mei 27, 2023 18:19 MYT
KUALA LUMPUR: Selepas mencetus tanda tanya dalam kalangan netizen dan peminat tiga hari lalu, penyanyi Shila Amzah akhirnya selamat mengikat tali pertunangan bersama pasangannya, pempengaruh, Ubai.
Perkara itu diumumkan sendiri oleh Ubai atau nama sebenarnya Ubaidillah, 25, melalui satu hantaran terbaharunya, pada Sabtu.
Dalam hantaran yang dimuat naik kira-kira pukul 5.15 petang itu, personaliti media sosial itu turut berkongsi dua keping gambar bersama Shila, 33, berserta kapsyen 'Alhamdulilah' dan simbol sebentuk cincin.
Kemas kini itu mendapat perhatian pengikutnya di laman sosial berkenaan.
Rata-rata turut memberi pelbagai reaksi termasuk ada di antara mereka yang menyifatkan perkongsian Shila, bahawa tiga hari lalu seolah-olah membayangkan seperti sudah memutuskan hubungan cintanya dengan Ubai sebagai 'scam'.
"Eeee dah agah dah!!! Congrats Kasha," kata salah seorang warga maya.
"Kan dah cakap statement itu gimik je, congratulations love birds," kata seorang pengikut.
"Patut buat status nak gempak satu Malaysia, congratulations," ujar seorang lagi pengikut.
Dalam hantaran di Instagram pada 24 Mei lalu, Shila mengucapakan terima kasih di atas segalanya selama lima bulan hubungan mereka jalinkan.
Dalam hantaran itu, Shila atau nama sebenarnya Nurshahila Amzah, memuat naik satu gambar bersama Ubai beserta kapsyen yang panjang.
Rata-rata juga turut merasakan hubungan mereka sudah berakhir.
Pada Februari lalu, media melaporkan pasangan selebriti tersebut mengakui menjalinkan hubungan selepas tampil memberi penjelasan menerusi sesi siaran langsung di TikTok.
Difahamkan, Ubai mula mendekati Shila ketika penyanyi berusia 33 tahun itu berada dalam fasa kekecewaan akibat kegagalan rumah tangga.
Jelas lelaki berusia 25 tahun itu, dia menyukai Shila sejak tingkatan satu pada 2011 dan mula follow Shila di Twitter.
Shila turut mengatakan bahawa hubungan mereka direstui oleh ahli keluarganya.
Walaupun terdapat perbezaan jarak umur, Shila menjelaskan faktor umur adalah tidak penting kerana pernah menjalinkan hubungan dengan lelaki lebih berusia.