Selepas didakwa atas lima pertuduhan cabul, Phillip Among berdepan dua lagi pertuduhan
Junaidi Ladjana
Jun 11, 2021 14:38 MYT
Jun 11, 2021 14:38 MYT
KOTA BELUD: Bekas pemimpin Parti Solidariti Tanah Airku Rakyat Sabah (STAR), Phillip Among, mungkin berdepan tambahan dua lagi pertuduhan baharu.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, dua lagi kertas siasatan polis terhadapnya adalah membabitkan Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Jangkitan No 2) 2021.
“Siasatan selesai dan kertas siasatan yang lengkap sudah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
"Kemungkinan pendakwaan dilakukan atau tidak, itu terpulang kepada mereka (pejabat Peguam Negara),” katanya ketika ditemui, pada Jumaat.
Semalam, Phillip mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu atas lima pertuduhan termasuk mencabul dua wanita yang mana salah seorang daripadanya adalah peserta Unduk Ngadau Pesta Kaamatan pada April dan bulan lalu.
Tertuduh yang berusia 52 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Jessica Ombou Kakayun.
Dia berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan selepas didakwa mencabul dua wanita berasingan termasuk seorang ratu Kaamatan atau Unduk Ngadau.
#Phillip Among
#mencabul
#pemimpin STAR
#pertuduhan baharu
#Hazani Ghazali
#Polis Sabah
#Unduk Ngadau dicabul