Selepas Arab Saudi, kini Mesir berminat tiru BR1M

Bernama
Disember 21, 2017 16:00 MYT
Penerimaan Mesir dan Arab Saudi membuktikan BR1M adalah model ekonomi yang tepat dan terbukti membantu golongan tidak bernasib baik. - Foto Astro AWANI
Mesir menjadi negara terbaharu selepas Arab Saudi yang berminat melaksanakan program serupa Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diperkenalkan di negara ini pada 2012.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz berkata, penerimaan kedua-dua negara di Timur Tengah itu membuktikan BR1M yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah model ekonomi yang tepat dan terbukti membantu golongan tidak bernasib baik.
"Saya melihat bahawa program BR1M ini satu program yang cukup murni dan diterima oleh golongan berpendapatan rendah. Sebenarnya model ini juga sedang dikaji dengan serius untuk dilaksanakan di Mesir
"Maksudnya apa yang dilaksanakan oleh kerajaan selama ini menjadi satu model yang diterima pakai dan akan ditiru oleh Mesir dan Arab Saudi," katanya pada Program 'Kembali ke Sekolah' peringkat Parlimen Jerlun di Sekolah Kebangsaan Pulau Chapa di sini, hari ini.
Othman yang menganggarkan lebih tujuh juta bakal menerima manfaat BR1M turut menyeru mereka yang layak agar segera mengemas kini maklumat diri atau membuat permohonan baharu di pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri sebelum 31 Disember ini, bagi mengelakkan nama mereka tercicir daripada senarai penerima.
"Ketika ini BR1M berada di peringkat pendaftaran dan kemas kini maklumat diri penerima. Kita seru supaya masyarakat pergi kemas kini rekod diri dan jangan ingat kita penerima BR1M maka nama kita sentiasa ada. Kadang-kadang ada kesilapan teknikal nama kita tercicir, bila tercicir kita akan mengamuk dan salahkan kerajaan," katanya.
-- BERNAMA
#Arab Saudi #Bantuan Rakyat 1Malaysia #BR1M #Datuk Othman Aziz #Datuk Seri Najib Tun Razak #Mesir #Perdana Menteri #Timbalan Menteri Kewangan
;