Selepas 83 tahun warga emas akhirnya miliki kad pengenalan
Bernama
Oktober 26, 2022 17:53 MYT
Oktober 26, 2022 17:53 MYT
TUMPAT: Selama 83 tahun hidup tanpa sebarang pengenalan diri, seorang warga emas, Wan Nab Ismail akhirnya sah sebagai warganegara apabila menerima sijil lahir dan kad pengenalan miliknya sendiri hari ini.
Dia tergolong sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) sebelum ini tidak pernah didaftarkan oleh kedua-dua ibu bapanya kerana mengalami masalah mental berbanding abang dan kakaknya (telah meninggal dunia).
Wan Nab yang kini tinggal bersama anak saudaranya, Zaidah Ismail, 46, di Kampung Laut dekat Palekbang, di sini menerima kad pengenalan dan sijil lahir yang disampaikan oleh Ketua Pengarah Pendaftaran Negara Datuk Ruslin Jusoh.
Turut hadir Setiausaha Bahagian Pendaftaran Negara dan Pertubuhan Badrul Hisham Alias dan Pengarah JPN Kelantan Asrehan Ab Razak.
Sementara itu, Ruslin berkata JPN Kelantan sebelum ini melalui Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) telah turun padang bagi mengenal pasti identiti Wan Nab yang sebelum ini tular dalam laman sosial kerana hidup dalam keadaan daif.
Beliau berkata JPN telah menjalankan soal siasat serta mendapatkan laporan daripada pihak berkait termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi mengenal pasti latar belakang Wan Nab dalam urusan pengeluaran dokumen pengenalan diri berdasarkan peruntukan undang-undang dan peraturan pejabat.
"Program MEKAR merupakan satu program yang bertujuan memberi perkhidmatan kepada golongan yang berisiko terutamanya warga emas, OKU, pesakit terlantar, pesakit mental, pesakit kronik dan mereka yang tiada upaya datang ke JPN.
"Wan Nab selepas ini akan mendapat segala kemudahan berdasarkan kelayakan sebagai warganegara terutamanya bantuan daripada JKM," katanya.
Mengulas lanjut, Ruslin berkata pihaknya juga akan menyerahkan satu lagi sijil kelahiran dan kad pengenalan kepada remaja berusia 16 tahun di Kampung Padang Enggang, Kota Bharu, hari ini.
Katanya, remaja terbabit tidak mempunyai sebarang dokumen kerana tidak didaftarkan oleh ibu bapa kerana berkahwin di negara jiran.
-- BERNAMA