Selepas 64 tahun, Land Rover 'Oxford' tiba di Thailand

Bernama
Ogos 30, 2019 06:00 MYT
Ekspedisi ini akan merentas tiga benua dan lebih 20 negara dengan sasaran untuk tiba di London dalam tempoh 100 hari. - BERNAMA
Ekspedisi Timur Jauh bagi perjalanan pulang kenderaan ikonik pacuan empat roda, 'SNX 891 Land Rover Series 1 1955 'Oxford', dari Singapura ke London, tiba di Thailand semalam.
Sekumpulan tujuh peminat kenderaan tersebut dari United Kingdom (UK) memulakan ekspedisi diberi jolokan 'The Last Overland' dari Singapura, Ahad lalu dan tiba dengan tiga buah kenderaan tersebut di Sadao, sempadan Thailand-Malaysia.
Pada 1 September 1955, sekumpulan enam anak muda dari Universiti Oxford dan Cambridge di UK memulakan ekspedisi tersebut yang diberi nama 'The First Overland' dengan perjalanan pertama ikut jalan darat dengan merentas jarak 16,093km dari London ke Singapura.
Ekspedisi pertama selama 100 hari itu berakhir pada 6 Mac 1956.
Selepas 64 tahun, seorang daripada kumpulan asal ekspedisi pertama itu, Tim Slessor yang kini berusia 87 tahun, memulakan inisiatif dengan sekali lagi menghidupkan kembali nostalgia tahun ini dengan memandu Land Rover Series 1 1995 yang sama untuk menjejak kembali laluan itu.
Bagaimanapun, Slessor tidak dapat mengikuti ekspedisi tersebut buat sementara waktu atas faktor kesihatan tetapi diganti dengan cucunya, Nat George dalam kumpulan yang disertai oleh pembikin filem, Alex Bescoby, Marcus Allender, Larry Leong, Silverius Purba, Therese-Marie Becker dan Leopold Belanger.
"Tujuan kami adalah untuk membawa pulang kenderaan ke tempat asal di London. Perjalanan kenderaan ini dari London ke Singapura pada 1965 dan 64 tahun kemudiaN, kami membawa pulang kenderaan ini," kata Bescoby berusia 31 tahun itu kepada pemberita sebaik tiba dari dari Singapura.
"Kenderaan ini adalah Land Rover pertama dipandu dari London ke Singapura dan ingin meraikan ulang tahun ke-64 perjalanan ini," katanya.
Ekspedisi ini akan merentas tiga benua dan lebih 20 negara dengan sasaran untuk tiba di London dalam tempoh 100 hari.
Kumpulan ini dijangka memasuki sempadan Myanmar, Ahad ini dan antara lokasi yang bakal dilalui ialah Banjaran Himalaya, Malaysia, utara Turki, China, Uzbekistan, Iran dan Bulgaria.
-- BERNAMA
#Land Rover #London #Oxford #SNX 891 Land Rover Series 1 1955 'Oxford' #Thailand #United Kingdom
;