Selepas 50 tahun, Kejora perlu lebih strategik - Mahdzir
Firdaus Azil
Februari 17, 2022 22:48 MYT
Februari 17, 2022 22:48 MYT
PENGERANG: Dalam menuju ke arah usia jubli emas, sudah tiba masanya untuk Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) berubah dan dijenamakan semula, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Ahli Parlimen Padang Terap itu berkata, pengurusan Kejora, termasuk agensi pembangunan wilayah lain di bawah kementerian itu, perlu mula memikirkan tentang perancangan strategik untuk 50 tahun akan datang pula.
Katanya lagi, penekanan terhadap penjenamaan semula Kejora perlu menjadi pemacu perubahan kepada semua pelaksanaan projek pembangunan dan aktiviti Kejora akan datang.
“Dalam satu organisasi seumpama Kejora, yang berada di kawasan yang melalui proses perbandaran … berada di sebelah tepinya proses perbandaran yang moden, di hujungnya adalah perkampungan, tapi semua ini digabungkan.
“Di sini ada perhotelan, ada kawasan kilang, kawasan gas dan minyak, ada perumahan hebat, duduk dalam kawasan Kota Tinggi,” katanya ketika berucap sempena Lawatan Kerja Menteri KPLB ke Wilayah Kejora, di sini hari ini.
Mahdzir berkata, mengambil kira potensi yang ada di bawah wilayah Kejora, pihak pengurusan perlu berfikir di luar kotak, dan mencari kaedah untuk memaksimumkan peluang yang sedia ada, demi pertumbuhan ekonomi yang lebih baik.
Menurut lampiran fakta yang dikeluarkan oleh Kejora, peruntukan sebanyak RM275,000 telah diagihkan di bawah program Penyaluran Geran Pentadbiran dan Pengurusan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Pertubuhan-pertubuhan berkaitan.
Geran pentadbiran itu telah disalurkan kepada 35 JPKK di bawah seliaan Kejora, Pertubuhan-pertubuhan wanita, Pertubuhan Anak Yatim, dan Pertubuhan Warga Emas.
Menurut lampiran itu lagi, Kejora telah dilantik oleh KPLB sebagai agensi pelaksana dan pembayar bagi pelaksanaan Program Perumahan Rakyat Termiskin, di bawah Inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia 2022.
“Kejora melalui Bantuan Program Rumah Kasih Keluarga Malaysia Johor 2022 telah melaksanakan kerja-kerja baik pulih dan pembinaan semula rumah yang terkesan akibat banjir di sekitar daerah Kluang.
“Keseluruhan Bantuan Program Rumah Kasih Keluarga Malaysia ini melibatkan 24 buah rumah, iaitu 23 projek baik pulih dengan kos RM15,000 seunit, dan satu projek bina baru dengan kos RM56,000,” menurut kenyataan itu lagi.