Selepas 50 tahun, bubur lambuk tetel Masjid Jorak Elahi tetap diminati
Bernama
Mac 29, 2024 18:00 MYT
Mac 29, 2024 18:00 MYT
BATU PAHAT: Bubur lambuk tetel Masjid Jamek Jorak Elahi, Bukit Pasir, yang diagihkan secara percuma sentiasa ditunggu-tunggu penduduk sekitar sini apabila tibanya Ramadan.
Malah keenakan resepi yang dikekalkan semenjak 50 tahun itu menjadikan ia antara pilihan utama masyarakat di daerah ini.
Tukang masak bubur berkenaan Mohd Khalid Mohd Ali, 80, berkata tiada bezanya bahan-bahan yang diletakkan berbanding bubur lambuk biasa, cuma bubur itu diletakkan bahagian tetel (daging lembut) dengan jumlah yang agak banyak.
Katanya bubur lambuk yang enak perlulah mempunyai bahan tambahan mencukupi yang berperanan sebagai lauk atau penyedap rasa dan bukannya bubur nasi semata-mata atau mengandungi bahan sampingan yang sedikit.
"Resepi bubur lambuk di sini merupakan turun-temurun bermula tahun 1970-an lagi ketika agihan dimulakan, ia tidak pernah berubah walaupun telah memasuki generasi keempat tukang masaknya, selain ilmu memasaknya telah diperturunkan kepada tujuh tukang masak sehingga kini.
"Sebenarnya, aktiviti memasak dan mengagihkan bubur lambuk tetel ini telah dimulakan semenjak tahun 1926 ketika masjid dibuka, namun agihannya adalah hanya untuk kariah setempat sahaja," katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.
Jelas Mohd Khalid lagi, selain diletakkan tetel, bubur lambuk itu turut menggunakan pelbagai jenis rempah tradisional terdiri daripada herba dan ramuan asli yang dimasak bersama.
Sementara itu, Mohd Farek Md Tap, 49, yang merupakan tukang masak bubur lambuk tersebut generasi terkini berkata dia tetap akan meneruskan aktiviti memasak dan mengagihkan bubur berkenaan agar tradisi tersebut tidak pupus selain mengharapkan adanya golongan pelapis untuk mewarisinya.
Katanya beberapa pembaharuan telah dilakukan dalam menggerakkan aktiviti itu termasuk mendapatkan kerjasama beberapa pihak seperti agensi kerajaan, badan korporat, bank dan Umno Bahagian Batu Pahat, sekali gus jawatankuasa masjid tidak lagi melakukan sendirian.
"Setelah beberapa hari agihan bubur lambuk semenjak 1 Ramadan lepas, kita memasak sehingga tiga periuk dengan anggaran 20 kilogram beras dan hampir tiga kilogram tetel setiap hari.
"Seperti tahun-tahun sebelumnya, agihan bubur lambuk ini akan dilaksanakan selama sebulan dan insya-Allah, kita akan meneruskannya setiap tahun," katanya sambil menambah agihan berkenaan hanya terhenti pada 2020 akibat penularan pandemik COVID-19 ketika itu.
-- BERNAMA