Selepas 48 jam dilantik, Mustafar ketuai operasi serbuan di Puchong
Astro Awani
Ogos 3, 2016 09:04 MYT
Ogos 3, 2016 09:04 MYT
Baru 48 jam ditukarkan menjadi Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali mengetuai satu operasi besar-besaran di tiga pusat hiburan di Puchong Selasa malam.
Operasi yang turut disertai 50 anggota penguatkuasa dari Jabatan Imigresen Putrajaya menyasarkan Bandar Puchong Jaya yang dikenal pasti mempunyai banyak pusat hiburan yang tidak berlesen.
Ketika serbuan, kesemua GRO asing dalam lingkungan usia antara 19 dan 30 tahun kebanyakannya warganegara Vietnam dan China sedang leka melayan pelanggan.
Hasil semakan mendapati pasport mereka dipegang oleh majikan.
Tiga penjaga manakala tujuh pekerja asing ditahan bagi membantu siasatan dan kesemua mereka dihantar ke Pusat Tahanan Sementara di Bukit Jalil untuk dokumentasi.
Semasa dilantik menjadi Ketua Pengarah Imigresen pada 1 Ogos lalu, Mustafar menyifatkan ia merupakan kesinambungan kepada perjuangannya dalam membasmi rasuah.
Mustafar yang berkhidmat hampir 30 tahun dalam SPRM memberitahu, pertukaran itu merupakan suatu tindakan yang perlu diambil bagi memastikan usaha pencegahan rasuah dapat diperjuangkan dalam kapasiti lebih besar.